Adakah MySpace Masih Wujud Pada 2019? Ini Yang Terjadi Pada Platform Media Sosial Tersebut

Bermulanya pertumbuhan media sosial ini adalah sejak awal tahun 2000-an, di mana generasi pada zaman itu menemukan tujuan penggunaan Internet yang lebih efektif melalui laman web rangkaian sosial.

Myspace suatu ketika dahulu sangat popular dalam kalangan belia dan menjadi antara laman media sosial yang pernah berada di tangga teratas pilihan orang ramai, walaupun pada asalnya ia dilancarkan sebagai satu projek sampingan sahaja. Namun sekitar 2010, pengguna Myspace semakin menurun dan mengalami kesukaran untuk mengekalkan kepopularitian mereka. Dalam masa yang sama juga, sebahagian pengguna sudah mula beralih kepada platform lain seperti Facebook yang semakin meningkat ketika itu.



Berikut adalah gambaran ringkas bagaimana Myspace bermula, di mana ia mula jatuh, dan apa yang telah dilakukan oleh pihak mereka untuk cuba kembali menempah nama dalam kumpulan teratas rangkaian media sosial.

Titik bermulanya Myspace

Dilancarkan secara rasmi pada tahun 2004, pengasas Myspace telah mendapat idea dan inspirasinya daripada laman Friendster.

Selepas bulan pertama Myspace berada dalam talian, lebih sejuta orang telah pun mendaftar dan apabila tahun 2005 tiba, jumlahnya meningkat dengan pantas sehingga menerima lebih kurang 20 juta orang pendaftar.

Seusai mendaftar di laman web ini, pengguna diberi halaman profil untuk perkenalkan diri dengan menulis pelbagai informasi, berhubung dengan pengguna lain melalui komen atau mesej, berkongsi gambar, menyiarkan muzik mereka sendiri atau artis kegemaran.

Menjelang tahun 2006, Myspace telah dilawati lebih banyak daripada Google Search dan Yahoo! Mail, menjadikan ia sebuah laman web yang paling banyak dikunjungi di Amerika Syarikat pada masa itu.

Myspace mula dipengaruhi dengan muzik

Myspace juga dikenali sebagai laman rangkaian sosial untuk pemuzik, di mana mereka boleh gunakan untuk mempamerkan bakat dan berhubung dengan peminat. Pemuzik boleh memuat naik mp3 lengkap dan menjual muzik itu terus dari profil mereka.



Pada tahun 2008, reka bentuk semula bagi halaman muzik itu telah dilancarkan, yang telah membawa sejumlah besar ciri-ciri baru yang lebih menarik. Ketika Myspace masih di zaman kemuncaknya, ia merupakan suatu ruang dan peluang yang bernilai untuk para pemuzik manfaatkan. Bagi pengguna di Malaysia, anda pasti terkenang saat melayan muzik-muzik indie yang banyak dihimpunkan di MySpace.

Semakin suam sejak kedatangan Facebook

MySpace diasaskan oleh orang yang datang dari sektor industri dan pemasaran yang mempunyai perbezaan perspektif daripada Facebook sejak awal ia ditubuhkan. Namun, Facebook masih menjadi pesaing utama.

Pada awalnya, MySpace cuba untuk mengabaikan Facebook, kemudian meniru dan akhirnya telah membuat keputusan untuk menghidupkan ia sebagai platform untuk artis dan pemuzik.

Selain hilang kepopularitian disebabkan kedatangan Facebook, antara faktor penyebab adalah dari segi teknikal dimana MySpace jauh dibelakang platform lain walaupun mempunyai strategi pemasaran yang hebat.

Mereka kemudian cuba untuk memperbaiki masalah ini dengan menawarkan reka bentuk baru dan membolehkan pihak ketiga menyediakan aplikasi yang lebih menarik.

Namun, semakin Facebook berusaha meluaskan pengikutnya, Myspace mula menjalani satu siri kemerosotan dengan mereka bentuk semula laman itu atas usaha untuk mentakrifkan diri mereka sebagai sebuah rangkaian hiburan sosial sejak tahun 2009.



Menjelang Mac 2011, dianggarkan bahawa laman web rangkaian sosial itu telah pun menurun daripada 95 juta kepada 63 juta pelawat sejak 12 bulan sebelumnya.

Usaha mendapatkan tempatnya semula

Walaupun beberapa faktor telah dikhabarkan yang mungkin mencetuskan kemerosotan Myspace, namun salah satu sebab yang utama adalah kerana ia tidak mampu membuat pembaharuan dengan cukup baik untuk bersaing dengan produk lain seperti Facebook dan Twitter misalnya.

Kedua-dua platform itu bersaing sesama sendiri secara berterusan dengan memperkenalkan pelbagai reka bentuk utama dan ciri-ciri baru sejak beberapa tahun yang lalu. Sementara Myspace tetap tidak membuat apa-apa perubahan besar meskipun usaha untuk melancarkan beberapa ciri baru itu ada.

Adakah Myspace benar-benar sudah tidak wujud?

Walaupun ia sudah diambang kejatuhan yang sangat teruk, percaya atau tidak, masih ramai orang yang menggunakannya sebagai salah satu rangkaian sosial. Jadi, apakah Myspace ini masih dianggap seperti sudah tidak wujud?

Kebanyakkan orang pasti berfikiran sebegitu atas sebab lambakan pengikut di beberapa laman media sosial lain seperti Facebook, Twitter, Instagram, Snapchat dan banyak lagi.

Bagi pemuzik pada zaman seakarang, perkongsian muzik video di platfom seperti YouTube nampaknya lebih memberikan pendedahan secara meluas untuk kerjaya mereka.



Mengikut secara rasminya, jika anda ke laman myspace.com, anda akan melihat bahawa ia masih lagi wujud sehingga ke hari ini dan dilawati oleh ramai orang.

Walaupun ia mungkin nampak seperti sudah tidak bernyawa kepada berjuta-juta pengguna media sosial, sehingga ke hari ini Myspace masih berkembang tetapi pada skala yang lebih kecil berbanding pada suatu ketika dahulu.

Myspace yang terkini

Di halaman Myspace yang terkini, anda akan menemui pelbagai berita mengenai bidang hiburan, bukan hanya mengenai muzik, malah termasuk juga filem, sukan, makanan, dan topik-topik berkaitan kebudayaan.

Profil masih menjadi ciri utama bagi rangkaian sosial ini, tetapi pengguna digalakkan untuk berkongsi muzik, video, foto, dan apa sahaja informasi mengenai konsert misalnya.

Myspace pastinya tidak sama seperti yang dahulu tetapi ia masih hidup. Jika ada antara anda yang menggemari bidang muzik dan hiburan, ia mungkin merupakan satu platfom yang masih ada nilai baiknya.

 

 

Berkaitan