Adakah Masih Lagi Berbaloi Untuk Membeli PlayStation 4 Pada Tahun 2021?


Sony PlayStation 5 (PS5) baru sahaja selamat mendarat dan dijual secara rasmi di Malaysia pada Disember 2020 lalu. Ia dijual dalam dua edisi digital dan cakera yang berharga RM1,869 dan RM2,299.

Kapsyen: Harga rasmi pasaran Malaysia PlayStation 5


Untuk sesetengah orang, harga jualan ini tidaklah mahal mana lagi-lagi melihat perspektif harga kebanyakan telefon pintar yang jauh lebih mahal dari ini.

Namun, ada juga pengguna yang masih belum berkemampuan untuk memiliki konsol PS5 ini pada harga jualan tersebut.

Disebabkan PS4 pula sudah dijual pada harga yang rendah berikutan pelancaran PS5, ada juga yang mahu memiliki PS4 dan mengelak dari membeli PS5.

Jika melihat pada harga pasaran PS4, ketika pelancarannya pada tahun 2013, ia ditawarkan pada harga RM1,799, manakala PS4 Pro pula dilancarkan pada tahun 2016 dan juga berharga RM1,799.

Kapsyen: PlayStation 4 Pro


Kapsyen: PlayStation biasa


Sekarang, pada tahun 2021, PS4 ada yang dijual serendah sekitar RM1,000 manakala PS4 Pro pula pada sekitar RM1,500.

Sudah tentu ia lagi murah, namun mungkin ada pengguna yang bertanya, apa yang mereka terlepas jika membeli PS4 dan bukannya PS5?

Untuk itu, kami berikan sebab mengapa Sony PlayStation 4 masih lagi berbaloi jika anda membelinya untuk tahun 2021 ini.

Sokongan Permainan Dan Perisian Sehingga 2024


Permainan merupakan aspek penting ekosistem PlayStation. Walaupun PS5 baru sahaja dilancarkan, ini tidak bermaksud PS4 terus dilupakan dan dipadamkan dari ingatan Sony.

Pihak Sony sendiri telah mengesahkan bahawa mereka akan tetap menyokong dan memberikan permainan untuk PS4. Cuma bezanya mungkin pada tahap grafik ataupun visual yang mana PS5 boleh menawarkan permainan grafik lebih berkuasa disebabkan perkakas lebih maju.

Kapsyen: Sumber: Washingtonpost


Malahan, ada juga permainan yang dibangunkan turut boleh dimainkan pada kedua-dua konsol PS5 dan PS5. Seperti contoh Cyberpunk 2077.

Kapsyen: Cyberpunk 2077


Isu perkakas sepatutnya tidak menjadi isu disebabkan permainan seperti Read Dead 2 Redemption, Ghost Of Tsushima 2, dan God of War (2018) mempunyai visual yang cemerlang pada PS4. Jadi, CD Project Red yang patut dipersalahkan kerana tidak memberikan pengoptimasian yang sepatutnya.

Pendek kata, anda masih boleh menikmati beberapa judul permainan PS4 sehingga 3 tahun lagi jika anda membeli pada tahun 2021.

Kebanyakan Permainan PS4 Pun Sudah Cukup Seronok


Tahukah anda, anda tidak memerlukan PS5 jika anda mahukan judul permainan yang best?

PS4 masih lagi menawarkan antara judul terbaik permainan seperti:

  • inFamous: Second Son

  • Red Dead Redemption 2

  • Uncharted: The Lost Legacy

  • Shadow of the Colossus

  • Detroit: Become Human

  • Ghost of Tsushima

  • Uncharted 4: A Thief's End

  • Bloodborne

  • Spider-Man

  • Horizon Zero Dawn

  • God of War

  • Last of Us Part 2


Kapsyen: God of War (2018)


Kapsyen: Ghost of Tsushima (2020)


Kapsyen: The Last of Us Part II (2020)


Ini hanya judul eksklusif PS4 sahaja, tidak terdapat di platform lain seperti PC dan Xbox serta tidak termasuk dengan permainan pihak ketiga lain.

Namun, jika anda seorang gamer yang membeli konsol semata-mata untuk bermain FIFA, lain pula ceritanya. Jika beli PS5 dan hanya main FIFA nampak macam kurang berbaloi pun ada.

Permainan Terpakai Yang Lebih Murah


Salah satu perkara yang diperdebatkan pada pelancaran PS5 adalah harga permainan yang ada mencecah sehingga RM300. Sejujurnya ini adalah agak mahal untuk sebuah harga permainan, malahan permainan pada PC pun masih bermain pada harga sekitar RM200.

Untuk PS4, walaupun kebanyakan harga permainan terutamanya eksklusif masih lagi tinggi sekitar RM200, salah satu alternatif lain adalah mendapatkan permainan melalui kaedah terpakai.

Kapsyen: Lambakan permainan PS4 terpakai yang dijual


Harga permainan terpakai adalah bergantung kepada penjual dan pemilik permainan itu sendiri. Untuk kebanyakan permainan terpakai, rata-rata ada yang menjualnya sekitar RM50 bergantung kepada permainan apa yang dijual itu.

Rumusan


Walaupun tidak dinafikan PlayStation 5 merupakan konsol yang terbaik namun perlu diingatkan yang terbaik itu bukanlah untuk kesemua orang.

Kapsyen: PlayStation 5 yang terbaharu


Ada sahaja pengguna yang termakan dengan hype dan trend membeli PlayStation 5 namun sampai sekarang belum membuka kotak untuk bermain dengannya.

Dengan berkata demikian, PlayStation 4 sama ada versi biasa atau PlayStation 4 Pro masih lagi mempunyai nilai pembelian berbaloi untuk tahun 2021 ini. Lebih-lebih lagi jika mengejar permainan eksklusif seperti God of War, Spider-Man, The Last of Us dan lain-lain lagi.