Ada Apa Dengan Logo Acara Istimewa Apple 2019?

Spekulasi Apple akan perkenalkan kembali logo ikonik pelangi mereka.


Baik, lupakan sebentar ura-ra berkaitan iPhone 11 yang akan diperkenalkan pada 11 September nanti. Tetapi fokuskan pada rekaan logo yang digunakan pada acara istimewa Apple.

Berdasarkan rekaan logo tersebut, ini mungkin petanda awal bahawa Apple akan memperkenalkan semula rekaan logo ikonik Apple pelangi yang pernah digunakan mereka dari tahun 1977 hingga 1998.

Logo ikonik tersebut direka oleh pakar pereka grafik bernama Rob Janoff. Ia juga merupakan rekaan bentuk logo buah epal dengan kesan gigitan yang digunakan syarikat itu sehinggalah ke hari ini.

Rob Janoff menjelaskan kesan gigitan yang dibuat ke atas logo Apple adalah bagi memudahkan pengguna membezakannya dengan buah tomato.

Manakala warna pelanginya pula didakwa dicadangkan sendiri oleh Steve Jobs bagi melambangkan kemanusiaan pada syarikat itu.

Kapsyen: Antar produk terawal yang menggunakan rekaan logo pelangi Apple adalah komputer Macintosh 128K.