Ada 5 Lagi Telefon Pintar 5G Daripada realme Untuk Tahun 2020

Bermula dengan realme X50 5G pada awal tahun, diikuti realme X50 Pro 5G yang membuat kemunculan semalam, akan ada banyak lagi telefon pintar 5G dari jenama tersebut untuk tahun ini.

Dua peranti pertama daripada syarikat ini dipersenjatakan dengan Snapdragon 765G serta Snapdragon 865. Selain cip dari Qualcomm, pengeluar cip MediaTek juga menyediakan cip dengan kemampuan sambungan 5G melalui Dimensity 800 dan Dimensity 1000. Ia dijangka bakal hadir dilengkapkan pada telefon pintar realme selepas ini.

Sepertimana yang sudah diuar-uarkan sebelum ini, fokus realme sepanjang tahun 2020 adalah kepada generasi rangkaian terbaru iaitu 5G. Kita boleh lihat dua pengeluaran awal peranti 5G meliputi pasaran pertengahan serta kelas atasan dan realme sendiri memberi gambaran, mereka mahu menawarkan peranti bersesuaian pada setiap segmen harga. Pada pasaran China, mereka mula mengamalkan strategi "All in 5G in China" dimana tiada lagi penawaran peranti 4G di negara tersebut oleh realme.

Perkara yang sama juga akan digunakan untuk pasaran lain tetapi secara berperingkat. Antara pasaran yang menjadi tumpuan realme bagi penawaran peranti 5G adalah Malaysia, Singapore, UK, Sepanyol dan beberapa buah negara lagi.



Malaysia juga tidak lama lagi bakal meluaskan lagi penawaran rangkaian 5G dan sudah pasti, peranti dengan harga yang bersesuaian akan menjadi pilihan sebahagian pengguna di sini.