8 Pengeluar Televisyen Utama Dunia Berdasarkan Perkongsian Pasaran Bagi Tahun 2019

Samsung jauh meninggalkan pengeluar tv lain.


Peningkatan permintaan terhadap televisyen pintar semakin hari semakin meningkat seiring dengan perkembangan teknologi dan capaian internet berkelajuan tinggi.

Ditambah pula dengan penawaran servis teknologi penstriman video dari beberapa syarikat termasuklah Netflix, Hulu dan lain-lain menyebabkan pengeluar-pengeluar televisyen dari pelbagai jenama berlumba-lumba menghasilkan televiyen terbaik bagi ditawarkan kepada pengguna mereka.

Tidak sekadar dimuatkan ciri-ciri menarik, perkembangan teknologi televisyen juga terus berkembang pesat menerusi pelbagai  teknologi paparan yang dibangunkan oleh pengeluar seperti paparan LCD, LED, OLED, QLED dan lain-lain.

Laman technavio telah menyenaraikan 8 syarikat pengeluar terbesar televisyen di dunia bagi tahun 2019. Kedudukan 8 syarikat ini adalah berdasarkan kepada perkongsian pasaran saham serta teknologi yang dibangunkan mereka terhadap televisyen keluaran mereka.

1. Samsung Electronics


Samsung Electronics merupakan syarikat pertama di dunia yang melancarkan televisyen dengan teknologi LED  berdefinisi penuh pada tahun 2010.

Kapsyen: Samsung juga merupakan pengeluar telefon pintar terbesar di dunia.


Syarikat yang berpangkalan di Suwon, Kore Selatan ini ditubuhkan pada tahun 1969. Menerusi penguasaan pasaran televisyen sehingga lebih daripada 20%, ia telah meletakkan Samsung Electornics sebagai pengeluar televisyen terbesar di dunia sejak tahun 2006 lagi.

Tidak setakat itu, mereka juga menguasai hampir 50% pasaran televisyen bersaiz 75" di seluruh dunia.

2. LG Electronics


Sebuah lagi syarikat dari Korea Selatan yang menguasai pasaran televisyen dunia adalah LG Electronics. Syarikat yang berpangkalan di Seoul ini kini menguasai sebanyak 12% pasaran televisyen di seluruh dunia.

Sekaligus meletakkannya sebagai syarikat pengeluar televisyen kedua terbesar di dunia selepas Samsung.

LG yang menghasilkan pelbagai model televisyen termasuklah TV OLED, UHD, super UHD, TV pintar dan LED ini adalah jenama yang menjual TV OLED terbanyak di dunia sejak 2013.

Kapsyen: Pada awal tahun ini, LG telah pun melancarkan TV OLED boleh gulung pertama di dunia pada Acara CES 2019.

3. Sony


Sony, syarikat pengeluar barangan elektronik yang popular dari Jepun memang tidak perlu diperkenalkan lagi. Walaupun mereka merupakan pelopor konsol permainan video di dunia menerusi Play Station, tetapi penguasaan mereka terhadap pasaran televisyen di seluruh dunia hanya sebanyak 7% sahaja. Sekaligus meletakknya di tangga kedua pada tahun ini.



Sony yang terkenal dengan barisan model televisyen Bravia dilengkapi dengan cip pemprosesan X1 Extreme turut dilengkapi teknologi Acoustic Surface iaitu teknologi  bunyi yang datang terus daripada skrin, supaya bunyi dan kesan khas yang dihasilkan boleh didengar dengan tepat dari tempat yang betul.

Sony ditubuhkan pada tahun 1946 dan berpangkalan di Minato, Tokyo, Jepun.

4. Hisense


Selepas dikuasai syarikat dari Korea dan Jepun, barulah pengeluar televisyen dari China tersenarai di tangga ke-4 sebagai pengeluar terbesar televisyen di dunia.

Hisense yang berpangkalan di Qingdao, Shandong, China telah ditubuhkan sejak tahun 1969 lagi dengan menawarkan pelbagai pilihan televisyen yang menggunakan pelbagai teknologi dan sistem operasi pada harga yang amat berpatutan.

Kapsyen: Salah satu televisyen pintar Hisense dengan antaramuka sistem Android.


Tawaran harga tv yang jauh lebih murah tapi dilengkapi dengan teknologi terkini merupakan kelebihan Hisense yang sekaligus berjaya menyaingi industri elektronik yang mencabar.

5. TCL


TCL merupakan sebuah lagi syarikat pengeluar televisyen dari China yang berjaya menguasai pasaran tv dunia pada tahun ini. Syarikat ini yang ditubuhkan pada tahun 1981 dan berpangkalan di Guangdong, China ini boleh dikatakan agak jarang dikenali dikalangan pengguna.

Namun begitu ia merupakan syarikat yang pesat berkembang dan menghasilkan pelbagai model tv berteknologi tinggi termasuklah TV 2K LED,  TV Android UHD, TV pintar UHD, TV FHD/HD TV dan TV nipis FHD/HD.

Sepertimana Hisense, mereka juga menawarkan harga tv yang sangat murah dan mampu dimiliki. Malah disebabkan tawaran harga yang murah itu, sebahagian kecil model televisyen LCD yang dikeluarkan oleh syarikat seperti Samsung dan Alcatel telah dihasilkan oleh TCL untuk syarikat tersebut kerana lokasinya yang strategik untuk mengurangkan kos pengeluaran mereka.

6. Skyworth


Tidak terhenti setakat TCL, sebuah lagi pengeluar televisyen dari China telah turut disenaraikan di tangga ke-6 sebagai pengeluar televisyen terbesar di dunia.

Skyworth yang berpangkalan di Shenzhen, Guangdong, China (lahir di tempat yang sama dengan Huawei ni) telah berjaya menjadi antara sepuluh pengeluar tv tertinggi di dunia dan dijangka akan meningkatkan lagi pasaran tv mereka pada tahun-tahun yang akan datang.

Mereka menawarkan pelbagai rangkaian televisyen kepada pengguna termasuklah OLED TV, TV Android 4K, 4K Smart TV, TV Android 2K dan digital LED TV.

Selain itu, syarikat ini turut mengkhususkan dalam pembangunan dan pembuatan produk-produk elektronik, peranti paparan, monitor keselamatan, semikonduktor, peti sejuk, mesin basuh, telefon bimbit dan lain-lain.

7. Panasonic


Dari 8 syarikat pengeluar utama televisyen yang disenaraikan di sini, Panasonic merupakan syarikat elektronik yang paling tua dalam dunia penghasilan televisyen.

 

Maka tidak hairanlah Panasonic tersenarai sebagai salah satu jenama tv terbaik di dunia yang terus kekal releven dalam evolusi televisyen dari pewarnaan, pendigitan, panel rata dan teknologi  resolusi paparan yang lebih tinggi.

Panasonic ditubuhkan pada tahun 1918 dan berpangkalan di Osaka, Jepun.

8. Vizio


Akhirnya di tangga ke-8 dalam senarai syarikat pengeluar televisyen utama dunia bagi tahun 2019 dipegang oleh Vizio yang berpangkalan di Irvine, California, Amerika Syarikat.

Syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2002 ini sememangnya masih baru dalam pasaran dunia televisyen. Mereka terkenal dengan model televisyen HD skrin rata. Bagi menyaingi pengeluar televisyen popular dan lebih dulu dalam pasaran televisyen, mereka berusaha keras melabur dalam penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan televisyen berprestasi tinggi dengan ciri jimat tenaga.

Malah televisyen jenama Vizio turut menyokong arahan menggunakan kawalan suara dan boleh disambungkan dengan Amazon Echo dan Google Assistant.