8 Buah Syarikat Utama Telekomunikasi Malaysia Mengecualikan Caj Panggilan Ke Talian Befrienders KL

Sebagai sokongan terhadap khidmat sokongan emosi 24 jam setiap hari bagi mereka yang mengalami masalah kemurungan dan niat untuk membunuh diri.


Sekiranya anda memerlukan bantuan bagi mengatasi masalah kemurungan dan mempunyai niat membunuh diri untuk diri sendiri mahupun ingin membantu insan lain yang berdepan masalah sama, anda kini boleh menghubungi pihak Befrienders KL tanpa dikenakan sebarang caj panggilan.

Ia dicapai menerusi usaha sama antara pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang telah bekerjasama dengan lapan buah syarikat telekomunikasi yang bersetuju untuk mengecualikan caj bagi panggilan ke talian Befrienders bermula sejak 1 Ogos lepas.

Syarikat telekomunikasi yang terlibat dalam kerjasama ini ialah Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn. Bhd., Maxis Berhad, Telekom Malaysia Berhad, TIME dotcom Berhad, U Mobile Sdn. Bhd., Webe Digital Sdn. Bhd. dan YTL Communications Sdn. Bhd.

Befrienders KL merupakan sebuah pertubuhan bukan berdasarkan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam setiap hari kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Pertubuhan ini menyediakan perkhidmatan sokongan emosi dalam talian, emel dan temujanji untuk menemui sukarelawan Befrienders secara peribadi selain menganjurkan program ‘outreach’ dan seminar secara percuma.

Setakat ini dilaporkan, hampir 35 peratus daripada 30,075 panggilan yang diterima oleh pihak Befrienders Kuala Lumpur pada 2018 menyatakan keinginan untuk membunuh diri.

Oleh itu, usaha sama yang dijalankan ini diharap akan menggalakkan lebih ramai individu yang mempunyai masalah emosi untuk menghubungi Befriendersn tanpa risaukan isu kos panggilan telefon yang dibuat mereka.

Nombor talian Befrienders KL adalah 03-7956 8145.

Sumber: Bernama