6 Perkara Yang Tidak Patut Anda Kirimkan Di Media Sosial

Media sosial adalah platform di mana kita berhubung dengan orang ramai, baik yang kita kenali secara peribadi mahupun mereka yang hanya kita kenali di dunia maya.

Atas sebab inilah kebanyakan daripada kita gemar berkongsi dengan rakan-rakan maya mengenai status atau perkembangan terbaru secara atas talian melalui kiriman bertulis, gambar mahupun video.

Walaubagaimanapun, tindakan berkenaan mungkin akan memberikan kesan buruk kepada diri kita sekiranya ia dilakukan secara tidak terkawal. Ada perkara yang boleh dikongsikan atas talian, dan ada juga yang tidak patut dikongsikan sama sekali.

Untuk itu, melalui kiriman kali ini, kami akan bantu anda untuk mengenalpasti enam(6) perkara yang tidak patut anda kongsikan di media sosial.

1. Tiket Acara

Kapsyen: Grapocean


Orang ramai, terutamanya golongan muda gemar untuk memuatnaik gambar tiket acara di media sosial. Pada hakikatnya, ia bukanlah satu masalah.

Namun, sekiranya gambar yang dikirim memaparkan kod bar yang ada pada tiket secara sempurna, ia mungkin membuka peluang untuk orang lain menghasilkan tiket palsu menggunakan kod bar berkenaan.

2. Pas Perlepasan

Kapsyen: Kim Komando Show


Ya, pas perlepasan juga tidak patut dimuatnaik. Alasannya hampir sama dengan tiket iaitu ia mempunyai kod bar dan angka-angka penting.

Melalui kod bar dan angka-angka berkenaan, orang lain boleh mengakses pelbagai maklumat peribadi anda terutama jika anda memiliki akaun penerbangan.

Sekiranya anda masih mahu mengirimkan gambar berkenaan, pastikan tiada kod bar atau sebarang angka yang didedahkan.

3. Alamat Tempat Tinggal

Kapsyen: Huffington Post


Pasti ada yang tertanya-tanya, "ada ke orang share alamat rumah dekat media sosial?". Jawapannya, ya ada. Kesilapan ini sering dilakukan oleh mereka yang membuat jemputan ke majlis perkahwinan terutamanya di Facebook.

Cara yang betul untuk membuat jemputan ialah anda perlu meminta mereka yang berminat untuk hadir berhubung dengan anda secara peribadi melalui mesej persendirian(PM) untuk mendapatkan alamat.

Ini bagi mengelakkan rumah anda disasarkan oleh penjenayah kerana mereka pasti menganggap bahawa rumah anda mempunyai banyak wang atau barangan bernilai ketika itu.

4. Kad kredit/ debit

Kapsyen: Wikipedia


Pasti anda berasa sedikit pelik dengan perkara ke-empat ini. Kiriman gambar kad kredit/debit mungkin jarang kita temui di negara ini, namun ia adalah sesuatu yang biasa di luar negara.

Tidak percaya? Anda boleh lihat sendiri kiriman-kiriman di akaun Twitter @NeedADebitCard. Walaupun kiriman terakhir ialah retweet yang dibuat pada tahun 2016, ini membuktikan bahawa ada diantara kita yang kurang peka perkara ini.

Seperti biasa, nombor yang terpapar pada kad kredit/debit boleh dimanipulasi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab termasuklah untuk menjalankan belian atas talian.

5. Keadaan Di Pejabat

Kapsyen: Electronic Design


Kiriman ini selalunya dibuat melalui fungsi "Stories" di mana anda mungkin akan berkongsi keadaan di pejabat ketika anda bosan mahupun imej timbunan fail yang perlu anda siapkan pada hari tersebut.

Pada asalnya, ia bukanlah satu kesalahan namun ia menjadi masalah sekiranya kiriman tersebut ada menampilkan perancangan syarikat atau menampakkan pejabat dalam keadaan bersepah.

Jika kiriman yang dibuat menampakkan perancangan syarikat yang berbentuk rahsia, ia adalah berbahaya memandang kiriman tersebut boleh dilihat oleh pihak luar pejabat anda.

Selain itu, menunjukkan keadaan pejabat yang tidak terurus juga akan memberikan imej buruk terhadap syarikat anda bekerja.

6. Kiriman Berbaur Perkauman/ Kebencian

Kapsyen: Business Times Africa


Perkara ke-enam ini amat sinonim dengan pengguna media sosial di negara kita. Sebahagian daripada kita menggunakan media sosial sebagai medium untuk melepaskan ketidakpuasan hati mahupun menghentam bangsa lain.

Contohnya baru-baru ini, beberapa orang pengguna Facebook telah tertangkap mengeluarkan komen dan membuat kiriman tidak sepatutnya ketika berita mengenai perletakkan jawatan Yang Di-Pertuan Agong.

Kiriman mereka menjadi tular dan ada diantara mereka yang telah dikenakan hukuman oleh majikan masing-masing kerana memburukkan imej syarikat. Perbezaan di antara kita ini sepatutnya diraikan dan bukannya diperburukkan lagi.

Diharapkan dengan kiriman kali ini ia dapat membantu anda dan pihak kami sendiri untuk lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kiriman di media sosial di masa hadapan.

 

Sumber: How-to Geek    Makeusof

Berkaitan