Berbaki sekitar 4 bulan sebelum kita memasuki tahun 2024 dan tahukah anda bahawa terdapat banyak telefon pintar yang hadir dalam kelas bajet bawah RM1,000.
Bagi anda yang ingin mencarikan artikel 5 gajet atau peranti terbaik daripada kami, sangat dialu-alukan untuk membaca di pautan ini.
Tanpa melengahkan masa, izinkan saya memperlihatkan 5 telefon terbaik buat anda dalam kelas bawah RM1,000.
**Harga tertera adalah ketika artikel ini ditulis.
{snap}
iQOO Z7x (RM999)
Peranti Dengan Bateri & Pengecasan Terbaik
iQOO Z7x adalah versi mampu milik daripada abangnya iQOO Z7. Peranti terbaru daripada ‘saudara’ vivo ini menawarkan dan memfokuskan prestasi dalam mobile gaming.
iQOO Z7x dikuasakan cip Snapdragon 695 5G, memori 8GB + 8GB dan storan 128GB. Ia juga dilengkapi skrin IPS LCD 6.64″ beresolusi FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz.
Menariknya lagi, peranti ini disokong bateri berkapasiti 6,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 80W. Tidak lupa juga dengan sistem penyejukan cecair 5 lapisan yang ditawarkan dan ciri Hi-Res Audio.
iQOO Z7x menawarkan tetapan 2 kamera – 50MP, 2MP dan 8MP swafoto. Jadi peranti ini sesuai bagi anda yang mencari telefon pintar dengan kemampuan bateri dan pengecasan cemerlang.
{snap}
Samsung Galaxy A14 5G (RM949)
Peranti Dengan Sokongan ‘Update’ Terbaik
Pertama sekali, anda kena tahu bahawa peranti ini ada versi 4G LTE dan ia bukanlah yang saya maksudkan dalam senarai ini. Oleh itu, pastikan anda membeli dan memilih Samsung Galaxy A14 5G yang sebetulnya.
Peranti ini dikuasakan cip MediaTek Dimensity 700, memori RAM 6GB dan storan 128GB dengan slot kad mikroSD hingga 1TB. Ia juga dilengkapi skrin IPS LCD berukuran 6.6″ FHD+ dengan kadar segar semula 90Hz.
Yang menariknya adalah Samsung menawarkan kemas kini OS hingga 4 tahun lamanya dengan waranti 2 tahun kepada telefon ini.
Galaxy A14 5G mempunyai tetapan 3 kamera – 50MP+2MP+2MP dan 13MP swafoto. Peranti ini mempunyai bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan 15W.
Oleh itu, peranti ini sesuai buat anda yang mempunyai bajet RM1,000 dan inginkan peranti yang mampu digunakan lebih lama daripada standard.
{snap}
Infinix Note 30 Pro (RM899)
Peranti Paling Berbaloi
Untuk bajet RM1,000, tipulah sekiranya saya menafikan nilai dan ciri berbaloi yang ditawarkan Infinix Note 30 Pro ini. Peranti ini dikuasakan cip MediaTek Helio G99, memori 8GB + 8GB, dan storan 256GB.
Selain itu, ia dilengkapi skrin AMOLED 6.67″ FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz, input sentuh 360Hz dan kecerahan maksimum 900 nits.
Tambahan lagi, ia mempunyai tetapan 3 kamera – 108MP+2MP+2MP dan 32MP swafoto. Tidak lupa juga peranti ini mempunyai sistem penyejukan vapor chamber 10 lapisan.
Menariknya, peranti ini mempunyai pengecasan pantas berwayar 68W, 15W wayarles, pengecasan wayarles berbalik dan juga bypass untuk kapasiti bateri 5,000mAh.
Untuk pengetahuan anda, peranti ini mempunyai 2 pembesar suara stereo yang cemerlang dan ia ditala oleh JBL dan sokong Hi-Res Audio.
{snap}
OPPO A78 (RM999)
Peranti Alternatif Terbaik
OPPO A78 adalah sebuah peranti alternatif terbaik sekiranya anda tidak berminat dengan telefon-telefon yang lain dalam senarai ini. Selain itu, OPPO merupakan jenama kompetitif dalam menghasilkan peranti yang berkualiti.
OPPO A78 dikuasakan cip Snapdragon 680, memori LPDDR4X 8GB + 8GB, dan storan UFS 2.2 256GB. Peranti ini dilengkapi skrin AMOLED 6.43″ FHD+ dengan kadar segar semula 90Hz dan perlindungan Corning Gorilla Glass 5.
Selain itu, A78 mempunyai tetapan 2 kamera – 50MP utama, 2MP kedalaman dan 8MP swafoto. OPPO A78 mempunyai penarafan IP54, bateri berkapasiti 5,000mAh dengan pengecasan pantas SuperVOOC 67W.
Oleh itu, OPPO A78 adalah antara peranti terbaik bawah RM1,000 yang sesuai untuk anda pertimbangkan.
{snap}
nubia Neo 5G (RM899)
Peranti Terbaru Bawah RM1,000
nubia Neo 5G adalah sebuah peranti gaming terbaru bagi kelas bajet RM1,000 ke bawah. Selain rekaannya yang penuh dengan elemen gaming, ia juga padat dengan spesifikasi yang kompetitif.
Peranti ini dikuasakan cip Unisoc Tiger T820 yang lebih berkuasa berbanding Helio G99 dan juga sokong ketersambungan 5G berbanding Infinix Note 30 Pro.
Ia hadir dengan RAM 8GB + 10GB, storan 256GB dan skrin IPS LCD 6.6″ beresolusi FHD+ dengan sokongan kadar segar semula 120Hz.
Namun begitu, peranti ini mempunyai kapasiti bateri 4,500mAh dengan pengecasan pantas 22.5W sahaja. nubia Neo 5G mempunyai tetapan 2 kamera – 50MP utama, 2MP bokeh kedalaman dan 8MP swafoto.