5 Tahap Kereta Pemanduan Automatik Yang Anda Mungkin Tidak Tahu

Kereta pemanduan automatik merupakan salah satu teknologi yang kian pesat membangun dan pada masa yang sama, ia juga merupakan subjek yang menjadi topik hangat untuk dibualkan.

Pada satu tahap di masa akan datang, orang ramai meletakkan harapan mereka untuk mempercayai bahawa kereta pemanduan automatik ini akan dapat memastikan masa depan yang lebih baik dengan adanya perubahan dalam peningkatan keselamatan di jalan raya.



Namun, ada juga segelintir yang risau jika kenderaan mereka mudah digodam oleh orang lain kerana perhatian tidak diberi sepenuhnya yang akan menyebabkan risiko kemalangan maut. Pastinya akan ada juga perasaan ragu-ragu kepada pemandu lain apabila berkongsi satu jalan yang sama dengan kereta yang tidak dipandu oleh penumpangnya. Adakah kemajuan teknologi akan membuat pemandu lain berasa selamat?

Bagi melihat lebih dekat mengenai kereta pemanduan automatik dan sejauh mana teknologi ini sudah berada, mari kita lihat tahap-tahap kereta pemanduan automatik tersebut;



  • Tahap 0 - Tiada kawalan automatik


Kenderaan di Tahap 0 tidak mempunyai keupayaan untuk memandu sendiri. Pemandu yang akan bertugas untuk melakukan semua pemanduan itu sepanjang masa.

Secara realitinya, sebahagian besar kenderaan yang digunakan di pasaran masih di Tahap 0. Contohnya seperti Ford Focus 2007, Toyota Prius 2010 dan Honda Fit 2018 yang dikenali sebagai kenderaan yang bergantung semata-mata kepada manusia untuk menentukan tindakan memandu.

Tahap 0 merupakan kenderaan model asas dengan kawalan pemanduan konvensional.

Kapsyen: Tahap 0 - Honda Fit/Jazz 2018


  • Tahap 1 - Sistem bantuan pemandu


Kenderaan di Tahap 1 boleh membantu sama ada di bahagian stereng atau brek untuk memastikan jarak tertentu dari kereta hadapan, tetapi tidak kedua-duanya pada masa yang sama. Kawalan suai pandu (ACC) jatuh ke dalam kategori ini.

Pemandu tetap harus bertanggungjawab untuk semua tugas operasi kereta, termasuk mengendali, mempercepat, memperlahan serta mengawasi kenderaan dengan apa yang berada di sekeliling.

Terdapat banyak juga kereta yang menggunakan teknologi ini. Antaranya ialah jenama Chevrolet yang memperkenalkan beberapa model pada tahun 2015, Jeep Cherokee 2011, dan Honda Civic 2018.

Kapsyen: Tahap 1 - Jeep Cherokee 2011


  • Tahap 2 - Kereta pemanduan separa automatik


Boleh membantu dengan kedua-dua bahagian stereng dan brek pada masa yang sama. Kenderaan jenis ini masih memerlukan perhatian penuh daripada pemandu untuk terus sentiasa bersedia bagi mengambil alih pada bila-bila masa.

Pada masa ini, kenderaan pemanduan automatik di Tahap 2 antara yang paling biasa dijumpai di atas jalan raya.

General Motors Super Cruise adalah contoh yang sangat baik untuk dilihat di Tahap 2 ini. Namun, ciri-ciri Auto-Pilot yang ada pada Tesla seperti yang dilihat pada Model S, X, dan 3 juga boleh dikategorikan sebagai kereta pemanduan separa automatik.

Kapsyen: Tahap 2 - Tesla Model S 2018


Tahap 3 - Automatik bersyarat

Di tahap ini, walaupun pemandu masih perlu berada di dalam kereta, namun mereka sudah mula untuk boleh mengalihkan sedikit perhatian dari jalan raya.

Bermula di Tahap 3, kenderaan itu sendiri yang akan memantau persekitaran dengan menggunakan sensor automatik dan melakukan tugas pemanduan lain seperti brek misalnya. Walau bagaimanapun, pemandu tetap harus bersedia untuk mengambil alih jika sekiranya berlaku kegagalan dalam sistem atau keadaan lain yang tidak dijangka.

Audi A8 2019 dengan pemacu AI dan hibrid merupakan kereta Tahap 3 peringkat pertama yang berada di pasaran. Anda masih ingat tentang kereta pemanduan automatik Celcom yang menguji sambungan rangkaian 5G beberapa bulan lalu? Ia dikelaskan sebagai tahap 3.

Kapsyen: Tahap 3 - Audi A8 2019


  • Tahap 4 - Tahap automatik yang tinggi


Tahap 4 menunjukkan tahap automasi yang tinggi, di mana sebuah kereta mampu menyelesaikan keseluruhan perjalanan tanpa campur tangan pemandu, walaupun dalam kes yang teruk.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa sekatan akan meminta pemandu untuk membuat keuputusan di mana mereka boleh menukar kenderaan ke dalam mod ini hanya apabila sistem mengesan keadaan lalu lintas yang selamat dan tidak ada kesesakan pada ketika itu.

Honda pada suatu ketika pernah mengumumkan bahawa mereka sedang berusaha ke arah kenderaan di Tahap 4 menjelang tahun 2026. Manakala, Uber, Google dan banyak lagi syarikat lain juga telah berkerja keras untuk merealisasikan kenderaan tahap automatik yang tinggi ini. Namun, mereka hanya mengujinya di antara Tahap 2 dan 3.

Walau bagaimanapun, satu pengecualian boleh dibuat ke atas Waymo, bila mana ujiannya dijalankan pada Tahap 4 dalam Early Access Program tetapi mereka telah mengehadkan kenderaan ini untuk dipandu mengikut keadaan, misalnya ujian Waymo dilakukan di Arizona, memanfaatkan cuaca panas sebagai kelebihan.

Kapsyen: Tahap 4 - Waymo


  • Tahap 5 - Kereta pemanduan automatik sepenuhnya


Kereta jenis automatik sepenuhnya ini masih belum wujud, tetapi syarikat pembuat kereta berusaha untuk mencapai ke Tahap 5, di mana pemandu hanya menentukan destinasi mereka dan kenderaan yang akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk semua mod pemanduan.

Di masa hadapan nanti, adakah kita mampu dan sempat untuk melihat ketiadaan manusia dalam pengendalian kereta?Memang sukar untuk membayangkan keadaan dunia apabila kereta pemanduan automatik sepenuhnya ini menjadi satu kebiasaan di mana-mana. Sekiranya itu berlaku, bagaimanakah cara ini akan mengubah hidup kita?

Berada di Tahap 5 memberi kita kebebasan di mana kita mampu melakukan sesuatu pekerjaan lain semasa di dalam perjalanan. Walaupun ia akan mengambil masa beberapa dekad untuk majoriti kenderaan baru muncul sebagai kereta pemanduan automatik sepenuhnya, namun ia sesuatu yang menarik untuk difikirkan sekarang, dan penting untuk memahami bagaimana kemajuan tahap demi tahap itu terjadi.

Kapsyen: Tahap 5 - Tidak memerlukan kawalan sepenuhnya daripada manusia


Oleh itu, kereta di tahap ini tidak mempunyai peruntukan bagi kawalan manusia, seperti roda stereng atau pedal.

Kereta pemanduan Aatomatik sepenuhnya ini merupakan matlamat dan impian yang tinggi di mana tiada pemandu manusia lagi yang diperlukan di atas jalan raya. Anda boleh semata-mata menjadi penumpang sahaja.

Jika di Tahap 0 adalah kereta yang anda pandu, maka di Tahap 5 ini adalah kereta yang akan memandu anda.

Kereta yang memandu sendiri ini berpotensi untuk menyelamatkan banyak nyawa, tetapi jika sesuatu perkara tidak mempunyai matlamat dan peraturan-peraturan yang dipersetujui untuk diuji, ia masih menjadi satu impian yang tidak relevan. Jadi, marilah kita sama-sama menunggu untuk melihat bagaimana kereta pada masa hadapan ini akan tercipta.

 

Sumber: How-To-Geek, cnet.com, rgbsi.com