5 Suspek Dari Perak Dan Pulau Pinang Disiasat Kerana Menyebarkan Berita Palsu COVID-19

Kesemua tertuduh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini telah mengambil rakaman percakapan ke ats lima orang suspek atas tuduhan menyebarkan berita palsu mengenai COVID-19 di beberapa lokasi di Perak dan Pulau Pinang.

Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Sejak daripada peringkat awal penyebaran berita palsu Covid-19 sehinggalah kini, SKMM telah menerima sebanyak 43 kes daripada orang awam, yang mana seramai 18 suspek telah dikenal pasti.

Enam daripada mereka termasuklah seorang selebriti yang telah pun didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua (2) tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

SKMM menasihatkan supaya pengguna mendapatkan sesuatu berita daripada sumber sahih seperti portal Sebenarnya.my atau pautan telegram iaitu https://t.me/sebenarnyamy.

Manakala jika anda mempunyai maklumat mengenai penularan berita palsu mengenai COVID-19 pula, pengguna boleh menyalurkannya menerusi pautan ‘Salur kepada Kami’ iaitu https://sebenarnya.my/salur/ di portal dan aplikasi Sebenarnya.my.

Sumber: SKMM