5 Sebab Kenapa Vivo S1 Berbaloi Dibeli

Bilamana menyebut tentang Vivo, mereka sudah beberapa kali menjadi yang pertama dalam mengetengahkan teknologi baru dalam telefon pintar dipasaran. Kamera hadapan terangkat, pengimbas cap jari dalam paparan hinggalah kepada keupayaan pengecasan pantas mencecah 120W yang walaupun masih belum dikomersialkan, ia menunjukkan mereka sentiasa meneroka invovasi baru untuk ditawarkan kepada pengguna.

Beberapa tahun dahulu mereka mungkin bukan pilihan ramai, tetapi sejak membawakan ciri-ciri menarik pada peranti, Vivo mula diberi perhatian dari setiap barisan peranti yang ditawarkan.

Salah satu model yang dipertaruhkan di Malaysia adalah Vivo S1, siri baru yang membawakan tanda harga RM1099. Sebelum dibawa masuk secara rasmi ke tanah air, Vivo S1 tidaklah digembar-gemburkan kemampuannya seperti sesetengah peranti yang lain. Tetapi kini, menerusi spesifikasi yang dilengkapkan beserta paras harga cukup berbaloi, Vivo S1 antara salah satu model yang masuk dalam senarai pertimbangan pembeli. Sekiranya anda “pembeli atas pagar”, tertanya-tanya adakah ia telefon pintar yang layak disambar, ini 5 sebab Vivo S1 berbaloi untuk dibeli.

 

1. Pengimbas cap jari dalam paparan

Dimulakan dengan pengimbasan cap jari, sesuai dengan status Vivo sebagai pengeluar pertama yang melengkapkan peranti mereka dengan teknologi ini tahun lalu. Berdasarkan pengalaman menggunakannya, pengimbas jenis optikal ini bertugas dengan lancar dalam mengimbas cap jari tanpa sebarang masalah. Tidaklah sepantas pengimbas ultrasonik yang terdapat pada peranti flagship tetapi tidak juga lambat. Senang kata, tiada keluhan untuk bahagian ini.



Ciri imbasan biometrik ini diletakkan pada bahagian bawah skrin paparan Super AMOLED, satu lagi sebab untuk anda memilikinya. Semua pasti sudah maklum kemampuan yang dihidangkan melalui paparan ini.



Warnanya terang dengan perincian yang jelas, menambahbaik pengalaman menonton filem atau rancangan kegemaran anda. Selain itu, paparan Super AMOLED juga sedia memberi penjimatan pada kuasa bateri jika digandingkan bersama mod gelap peranti. Untuk pengetahuan anda juga, Vivo menyediakan mod gelap pada paparan sistem serta aplikasi media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Instagram dan lain-lain.

Kapsyen: Mod gelap pada paparan sistem serta aplikasi media sosial


2. Kamera hadapan 32MP, lebih yakin ketika berselfie

Pada bahagian hadapan menampilkan lensa kamera selfie 32MP (f/2.0) dengan hasil gambar yang boleh dikatakan cemerlang untuk peranti pada paras RM1099. Warna gambarnya kelihatan lembut dan tidak keterlaluan.



Tetapan rakaman hadapan ini menyokong ciri seperti Panorama, Live Photos, AI filter, AR Sticker, rakaman sudut lebar dan Fun Video. Tidak ketinggalan juga keupayaan mencantikkan lagi wajah menerusi AI Beauty untuk rakaman foto serta video.



Bagi rakaman hadapan pada situasi kurang pencahayaan, ia akan dibantu dengan ciri cahaya dari paparan skrin.

 

3. Kuasa bateri mampu menjana peranti sehingga 10-12 jam

Vivo tidak lokek untuk membekalkan kapasiti besar pada Vivo S1 dimana ia dilengkapi dengan bateri berkapasiti 4500mAh. Penggunaan seharian biasa seperti melayari internet, media sosial dan panggilan suara mampu mencapai sehingga 10 jam ke 12 jam.



Bermain permainan mudah alih dalam tempoh lebih kurang 1 jam setelah bateri dicas penuh, memperlihatkan Vivo S1 menelan kuasa antara 20%-25% dan ia dirasakan sudah memadai dengan gaya penggunaan kita ketika ini.

Daya pengecasan disalurkan melalui port MikroUSB, mungkin sedikit hambar pada pandangan mata anda tetapi kekecewaan itu digantikan dengan pengecasan pantas 18W. Selain itu, Vivo juga menyediakan pengecas dengan daya yang sama didalam kotak. Tidak perlu beli asing, jimat duit.

 

4. Barisan tiga kamera didokong ciri AI

Vivo S1 dibarisi dengan tiga lensa kamera terdiri daripada 16MP lensa utama (f/1.78) + 8MP sudut ultra lebar (f/2.2) + 2MP bokeh (f/2.4). Ia terletak kemas pada bahagian kiri belakang diakhiri dengan fungsi flash.



Bahagian rakaman ini menawarkan ciri yang sama seperti kamera hadapan ditambah dengan ciri seperti PDAF, time-lapse serta gerak perlahan. Ia turut diperkuatkan dengan ciri kecerdasan buatan JOVI dari Vivo. Mirip seperti Google Lens dimana apabila kamera dihalakan kearah objek, ia akan mengenal pastinya dan memaparkan maklumat lanjut seperti nama, harga serta platform yang menjual barangan tersebut.



 

5. Rekaan menarik menjadi pelengkap Vivo S1

Vivo tidak melupakan penampilan luar untuk model ini. Di hadapannya gah dengan skrin Super AMOLED sementara panel belakang menyajikan kombinasi warna serta corak yang menarik.



Terdapat dua warna pilihan iaitu; Diamond Black bercirikan corak berlian yang bergemerlapan dengan sentuhan warna emas mengelilingi lensa kamera. Cukup mewah dari pandangan mata.



Satu lagi variasi yang ditawarkan adalah Skyline Blue, gabungan warna antara biru serta ungu yang penuh dengan kelembutan, cukup sesuai rasanya digayakan gadis-gadis diluar sana.

Bagi rekaan fizikal, sisi kanan ditempatkan dengan butang pelaras kelantangan bunyi dan butang kuasa. Disebelah kiri pula terdapat butang yang didedikasikan untuk mengaktifkan pembantu digital, Google Assistant dan pada sisi yang sama, terdapat slot dwi kad sim Nano dan satu slot khas untuk kad MikroSD. Bawah peranti disusun dengan bicu audio 3.5mm, port MikroUSB dan corong pembesar suara.



Lain-lain spesifikasi yang dimuatkan adalah cip pemprosesan MediaTek P65, RAM 6GB, memori simpanan 128GB dan menjalankan sistem Funtouch OS berasaskan Android Pie 9.



Vivo S1 sudah mula dipasarkan di Malaysia sejak penghujung Julai yang lalu dan 5 sebab diatas, ia cukup berbaloi untuk dimiliki pada harga RM1099. Jika anda sudah memiliki peranti ini, boleh kongsikan pendapat untuk bantu rakan-rakan yang masih “atas pagar”. Vivo S1 boleh dibeli dari mana-mana kedai konsep Vivo seluruh negara, pengedar sah, atau secara dalam talian dari Vivo E-Store, Lazada, Shopee atau Seng Heng.