5 Salah Faham Tentang CPU Yang Sering Didengari

Cip pemprosesan dan CPU merupakan antara komponen penting dalam komputer. Jadi, apabila membandingkan prestasi antara sesebuah komputer ke komputer yang lain, perbandingan cip pemprosesan dan juga CPU sering dinyatakan membuktikan signifikan mereka.

Dengan teknologi yang sentiasa bergerak maju, kadang kala ada sahaja salah faham yang menyerap masuk ke minda kita.

Untuk artikel kali ini, mari kita lihat antara 5 salah faham paling popular mengenai perkakas cip ini. Setiap satu salah faham itu akan diperjelaskan mengapa ia tidak benar.

Kelajuan CPU Adalah Berdasarkan Bilangan Teras Dan Kelajuan Frekuensi


Diberikan satu perbandingan cip:

  • CPU A - 4 teras pada 4GHz

  • CPU B - 6 teras pada 3GHz


Mungkin ada yang membuat rumusan CPU B lebih pantas dengan cara mengira 6x3 = 18 berbanding CPU A dengan 4x4 = 16. Ini adalah tidak betul dan salah.

Antara dua jenis CPU, terdapat banyak parameter atau perkara perlu diambil kira terlebih dahulu. Jadi mustahil untuk membandingkannya dengan cara itu.

Jika CPU datang dari rekaan yang sama dan keluarga model yang sama, yang ini boleh sahaja untuk dibuat perbandingan. 6 teras akan lebih laju dari 4 teras dan 4GHz adalah lebih laju dari 3GHz.

Akan tetapi, jika mengikut perbandingan CPU A dan CPU B itu, yang mana lebih laju jika kedua-duanya datang dari rekaan yang sama? Jawapannya adalah ia bergantung kepada jenis kerja yang dilakukan.

Kapsyen: Isi dalam CPU


CPU B dengan teras lebih banyak adalah lebih pantas jika melibat beban pelbagai-teras seperti Adobe Premiere Pro atau Blender. Namun, pada masa yang sama CPU A pula lebih pantas jika digunakan untuk beban dengan frekuensi lebih tinggi seperti bermain permainan video.

Jika dua CPU itu datangnya dari keluarga berlainan seperti Intel i7 (6 teras 4.9GHz) dan AMD Ryzen 7 (8 teras 4.7GHz), perbandingan hanya melihat dari bilangan teras dan frekuensi adalah tidak masuk akal.

ARM Merupakan Pembuat Cip Pemprosesan


Apabila bercerita tentang cip pemprosesan sesebuah telefon, pasti tidak akan lupa untuk bercakap tentang ARM.

Kapsyen: Gambar hiasan - Cip ARM


Dalam industri cip, ARM antara syarikat terpenting kerana hampir kesemua sistem berkuasa rendah dan jimat tenaga menggunakan cip ARM.

Namun, apa yang perlu diperjelaskan adalah ARM tidak menghasilkan cip, walaupun cip itu datang dari mereka.

Ini adalah kerana ARM hanya membekalkan rangka tindakan bagaimana cip mereka patut beroperasi dan memberikan kebebasan bagaimana syarikat cip seperti Qualcomm, Samsung, atau MediaTek untuk menghasilkannya.

ARM, selain dari nama syarikat turut bermaksud Advanced RISC Machines yang merupakan senibina untuk cip kuasa rendah dan jimat tenaga. Me

Jika pengeluar mahu membina cip untuk sistem kuasa rendah seperti telefon pintar, atau gajet kecil, mereka akan mencari ARM kerana tiada syarikat lain dengan kemampuan ini. Ini juga bermaksud mereka perlu membayar syarikat ARM untuk mendapatkan lesen membina cip dengan senibina itu.

Apple sebagai contoh, sampai sekarang masih lagi menggunakan cip dari senibina ARM sama sahaja seperti pengeluar telefon pintar lain.

Jika dberikan perumpamaan, ia boleh dikatakan sebagai memberikan set LEGO kepada seseorang. Orang tersebut telah diberikan panduan bagaimana untuk menggunakan LEGO namun beliau bebas untuk membina apa sahaja dari LEGO itu.

Cip Pemprosesan Akan Semakin Pantas


Moore's Law adalah pengamatan saintis yang mana bilangan transistor dalam CPU akan meningkat 2 kali ganda setiap 2 tahun.

Kapsyen: Moore's Law


Jika melihat dari graf perbandingan bilangan transistor setiap tahun dalam komputer, trend ini betul dan seiring dengan Moore's Law.

Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peningkatan jumlah transistor dalam CPU tidak sepesat dahulu dan dilihat perlahan-lahan semakin menyanggah prinsip Moore.

Apa signifikan jumlah transistor yang banyak? Secara ringkasnya ,meningkatkan jumlah transistor secara tidak langsung turut melajukan prestasi CPU.

Ada dua cara logikal untuk menambahkan jumlah transistor iaitu

  • membesarkan saiz cip itu sendiri

  • mengecilkan saiz transistor


Cara yang pertama masuk akal tetapi cara ini tidak sesuai kerana ia mengambil ruang dalam komputer, memerlukan banyak kuasa, dan juga mengeluarkan banyak haba.

Ini adalah mengapa industri mengecilkan saiz transistor dari tahun ke tahun. Dari proses 20nm pada tahun 2015, sekarang sudah mengecil kepada proses 5nm pada tahun 2021.

Akan tetapi, jika transistor semakin mengecil, sampai satu tahap kita akan sampai kepada had kerana ia akan mula bermain dengan efek kuantum kerana terlalu kecil. Tanpa inovasi dan teknologi yang tepat, sampai di sini sahajalah had kecil saiz transistor cip.

Sehubungan dengan itu. kita mungkin akan tidak dapat melihat prestasi CPU yang mempunyai lonjakan tinggi seperti sebelum-sebelum ini. Namun jangan risau, para saintis dan pakar sentiasa akan mencari jalan untuk menangani isu ini.

Saiz Proses Nm Cip Berguna Untuk Membandingkan Prestasi Cip


Jika cip itu dilabelkan dengan saiz proses 5nm, ia bukannya bermaksud transistornya bersaiz 5nm.

Apa yang lebih tepat adalah ia merujuk kepada teknologi pembuatan 5nm yang mana lagi kecil nilai tersebut bermakna teknologi penghasilan cip itu lebih kompleks dan maju. Boleh juga dikatakan ia sebagai nilai ukur kemajuan ciup dalam pemasaran produk.

Terdapat beberapa penghasil cip seperti Intel, Samsung, TSMC, SMIC, UMC, dan Global Foundaries. Setiap dari satu ini mempunyai teknologi masing-masing dan berbeza antara satu sama lain.

Kapsyen: Perbezaan saiz proses antara pengeluar cip


Ada juga yang membandingkan Intel masih lagi 10nm padahal telefon pintar sudah menggunakan 5nm. Ini juga perbandingan tidak adil kerana saiz cip Intel lebih besar dan ia menggunakan senibina berbeza dari telefon pintar.

Apa yang utama, 5nm dari TSMC tidaklah sama dengan 5nm dari Samsung kerana setiap pereka cip mempunyai kemahiran dan kepakaran masing-masing.

Adakah metrik nm ini tidak berguna langsung? Jawapannya tidak kerana nilai ini masih berguna untuk membandingkan kemajuan proses dari tahun ke tahun.

Apa yang nak dikatakan di sini adalah, saiz nm ini bukanlah penentu utama dalam membuat perbandingan antara cip. Ada lebih banyak perkara lain yang perlu diambil kira bukan hanya melihat nilai "nm" sahaja.

GPU Merupakan Pemprosesan Lebih Pantas Dari CPU


Secara umumnya terdapat 2 jenis komputer riba. Satu menggunakan pemproses dari grafik berasingan (dedicated) dan satu lagi secara terbina (integrated).

Apabila dibandingkan, sudah tentu komputer riba dengan grafik berasingan mempunyai prestasi grafik lebih berkuasa.

Mungkin ada yang berpendapat dan merumuskan secara mudah bahawa pemproses grafik (GPU) adalah merupakan unit pemprosesan lebih berkuasa dan pantas dari CPU.

Mungkin juga ada yang berfikir mengapa masih perlu lagi CPU jika GPU lebih berkuasa.

Ini merupakan andaian yang kurang tepat dan sebenarnya ada sebab mengapa CPU masih lagi diperlukan disamping kewujudan GPU.

Untuk GPU, teras pemprosesan dalamnya, walaupun ada beribu-ribu, ia adalah sangat asas jika dibandingkan dengan CPU. GPU direka untuk melakukan operasi kecil yang berulang-ulang kali.

Kapsyen: Perbezaan teras antara GPU dan CPU


Teras dalam CPU juga walaupun jumlah sangat sedikit, ia direka untuk melakukan pelbagai tugas kompleks dari kecil sehingga besar.

GPU lebih sesuai untuk tugasan secara selari, yang mengambil manfaat ribuan teras untuk melakukan sesuatu tugasan kecil dalam masa yang ringkas.

Untuk sesuatu program yang tidak boleh dilakukan secara selari CPU lebih pantas kerana ia direka untuk mengendalikan tugas yang kompleks.

Jika anda melihat perbandingan harga, CPU yang paling mahal seperti Intel Xeon boleh mencecah harga ratusan ribu ringgit sedangkan GPU paling mahal seperti Nvidia Quadro pula harganya jauh lebih rendah dari itu.

Pendek kata, baik CPU atau GPU, kedua-duanya merupakan elemen pemprosesan yang berbeza melakukan tugasan yang berbeza.

Rujukan 1
Rujukan 2
Rujukan 3

Berkaitan