5 Peta Paling Popular Bagi Permainan Video Multiplayer Ber-genre Perang Sepanjang Masa

Bermain permainan video secara beramai-ramai tentunya lebih seronok berbanding bermain secara berseorangan. Oleh sebab inilah pada hari ini, permainan video yang menawarkan fungsi multiplayer dilihat lebih popular walaupun sebahagian daripadanya memberikan kos tambahan kepada pemain untuk bermain secara beramai-ramai.

Berbeza dengan permainan video ber-genre sukan yang kebanyakannya boleh dimainkan lebih daripada satu pemain menggunakan satu konsol atau peranti sahaja, permainan peperangan pula memerlukan lebih dari satu peranti untuk dimainkan secara multiplayer.

Pemain permainan video sebegini biasanya ada peta-peta kegemaran mereka tersendiri untuk dimainkan. Ini kerana, mereka merasakan sesebuah peta itu sesuai dengan cara mereka bermain dan membantu mereka untuk beraksi dengan lebih baik kerana mengenali selok-belok peta berkenaan.

Atas sebab itu, di sini kami akan senaraikan peta-peta paling popular bagi permainan video ber-genre perang bagi pemain mod multiplayer. Cuma satu peta sahaja yang boleh dipilih bagi setiap permainan video yang berada di dalam senarai ini.

Call of Duty - Nuketown



Diperkenalkan pada permainan Call of Duty : Black Ops, Nuketown menjadi antara peta yang sering menjadi pilihan pemain siri COD selepas itu. Sebuah peta kecil yang berorientasikan reka bentuk kejiranan pada era tahun 1950-an, peta ini menjanjikan huru-hara yang teruk.

Ia jelas mencabar skil dan keupayaan pemain untuk memberi tindakbalas sepantas mungkin kerana ruang peta yang kecil telah mengehadkan pergerakan pemain, seterusnya menyebabkan pertempuran jarak dekat sering berlaku.

Lanskap peta ini amat mudah di mana terdapat dua buah rumah yang bertentangan, dipisahkan dengan longgokan kenderaan di tengah jalan serta sebuah laman kecil di belakang rumah. Kedua-dua pasukan secara akan bermula berasingan di dua rumah tersebut sebelum saling berbalas tembakan sesama mereka.

Peta ini turut hadir dalam siri Call of Duty: Black Ops Declassified untuk PS Vita dan semua siri COD : Black Ops seterusnya sehingga kini.

Battlefield 3 - Grand Bazaar




Peta ini mengambil tempat di Tehran, Iran semasa perang 2014. Terkenal dengan permainan yang lebih memerlukan strategi berbanding kepantasan, susun atur landskap pada peta Grand Bazar menyebabkan peta ini sering menjadi pilihan pemain.

Pemain perlu mengelak daripada kawasan terdedah dan berada dia laluan jalan atau berdepan kemungkinan di tembak mati oleh pihak musuh. Namun, pemain perlu bergerak keluar dan masuk banyak bangunan di situ, maka pergerakkan pemain juga perlu dilakukan secara berhati-hati.

Peta ini sesuai bagi mereka yang gemar menggunakan bom bagi membunuh pihak musuh kerana struktur bangunan-bangunannya yang sempit dan amat sesuai untuk melemparkan pelbagai jenis bahan letupan.

Bagi mereka yang gemar bermain di peta ini, anda diingatkan supaya berjaga-jaga dalam setiap pergerakkan agar tidak diserang hentap oleh pihak musuh yang bersembunyi di celah-celah runtuhan atau kenderaan.

Red Alert 2 - Bay of Pigs



Pemain Red Alert 2 pastinya tahu mengenai betapa bernilainya sesuatu telaga minyak untuk dimiliki dalam permainan berkenaan. Oleh itu, peta ini menjadi antara peta paling digemari oleh pemain dalam permainan ini.

Ia bagaikan sebuah pulau yang terbahagi kepada enam bahagian untuk menempatkan kem-kem setiap pemain. Empat pasukan akan dibekalkan dengan dua telaga minyak manakala dua lagi pasukan yang beruntung akan dihadiahkan tiga telaga berkenaan.

Oleh kerana saiz peta yang agak kecil, selalunya pemain tidak memerlukan jet pejuang semasa bermain di Bay of Pigs. Namun, kawasan laut sekeliling perlu diambil perhatian kerana pihak musuh biasanya akan cuba memusnahkan telaga minyak dari sana bagi merencatkan sumber kewangan pasukan tentera anda.

Selain kira-kira 20 telaga minyak untuk dimiliki, pemain juga perlu merebut dua buah Tech Airport untuk dikuasai dan direbut bagi memberikan bantuan ketenteraan tambahan kepada pasukan masing-masing.

Halo - Blood Gulch



Peta-peta pada permainan Halo selalunya tidak pernah mengecewakan. Namun di antara peta-peta berkenaan, Blood Gulch perlu dipilih menjadi peta yang terbaik dan paling popular bagi permainan tersebut.

Reka bentuk peta yang agak terbuka dan luas seterusnya membenarkan skil menembak pemain benar-benar diuji. Pemain tidak lagi perlu terlalu memikirkan untuk bertahan atau bersembunyi dari pihak musuh.

Bergerak menggunakan kenderaan seperti Warthog dan Scorpion pastinya akan memberi kelebihan kepada pemain. Sekiranya bernasib baik, pemain boleh memenangi permainan dengan cara menyerang kem musuh dan terus mengambil bendera mereka dengan menaiki kenderaan-kenderaan tersebut.

Disamping menyerang, pemain juga perlu memastikan bendera mereka selamat daripada dicuri oleh pihak musuh. Maka, permainan ini juga memerlukan kerjasama berpasukan yang baik walaupun skil individu amat penting bagi muncul sebagai pemenang.

Counter Strike : Dust 2



Permainan dan peta ini perlu ada dalam senarai ini. Dust 2 boleh dianggap peta lagenda dalam permainan Counter Strike bersama Dust dan Assault. Ia merupakan peta yang lengkap bagi apa jua gaya permainan pemain.

Pemain boleh memilih untuk menyerang pihak musuh dari jarak dekat menggunakan senjata seperti SMG dan assault rifles, atau menembak mereka di kepala menggunakan senjata jenis sniper dengan menunggu kemunculan pihak di celahan sebuah pintu besar di sana atau pun di tempat pemasangan bom.

Peta ini menjadi lebih menarik apabila kedua-dua pasukan perlu memilih di antara dua tempat pemasangan bom A atau B untuk dituju. Kemungkinan untuk kedua-dua pasukan memilih dua kawasan yang berbeza adalah pada 50%.

Perkara itu akan memberikan lebih debaran kepada pemain kerana kedua-dua pihak pastinya tertanya-tanya tentang kedudukan musuh mereka masing-masing. Peta ini kekal popular sehingga ke edisi terkini permainan Counter Strike iaitu Global Offensive.

Seperti biasa, peta dan permainan di atas adalah pilihan peribadi kami di pihak Wiser sahaja. Kami mengalu-alukan anda untuk berkongsi permainan dan peta kegemaran anda di ruang komen.