5 Permainan Video Lagenda Yang Semakin Dilupakan Pada Hari Ini

Permainan video bukanlah sesuatu yang baru dalam kehidupan manusia. Bermula sejak zaman kebangkitan permainan arked pada pertengahan era 1970-an, permainan video sudah menjadi satu medium hiburan popular di seluruh dunia.

Malah, sejak tiga atau empat tahun kebelakangan ini, bermain permainan video mula dianggap sebagai satu kerjaya. Ramai pemain profesional kini sudah mampu mempunyai pendapatan setanding dengan kerjaya profesional yang lain seperti doktor atau peguam.

Setiap pemain pastinya mempunyai permainan video yang berjaya menanam minat mereka dalam bidang ini. Dengan itu, kami akan senaraikan beberapa permainan yang boleh dianggap lagenda namun semakin dilupakan oleh gamers hari ini.

1.Virtua Cops 2 (1995)



Permainan yang dibangunkan oleh SEGA ini pasti mengimbau kenangan lampau bagi mereka yang lahir pada era 90-an. Hanya memerlukan pemain mengawal arah tembakan, ia boleh dikatakan sebagai antara permainan terawal bagi genre first person shooter.

Pemain akan memegang watak Rage sebagai seorang polis yang dibantu oleh rakan baiknya, Smarty dan seorang detektif wanita bernama Janet. Permainan ini mempunyai siri sambungan iaitu Virtua Cop 3 namun ia adalah eksklusif untuk permainan arked sahaja.

Konsol : PC, Sega Saturn, Playstation 2, Sega Dreamcast, Arked


2. House of Dead (1996)



Sebuah lagi permainan yang seharusnya dimain oleh pemain Virtual Cops. Mempunyai gaya permainan yang sama, cuma dalam permainan House of Dead, pemain perlu menembak mati karakter zombi yang menyeramkan hasil eksperimen seorang saintis gila, Dr.Curien.

Selain zombi, watak-watak jahat lain juga terdapat dalam permainan ini seperti Manbat(manusia kelawar) dan labah-labah gergasi. Permainan ini juga telah dihasilkan buat pertama kali oleh SEGA.

Konsol : Saturn, Arked, PC


3. Half-Life (1998)



Permainan ini boleh dianggap sebagai permainan yang menaikkan nama Valve dalam arena permainan video global. Ia merupakan pencabar sengit bagi siri awal permainan Counter-Strike(CS) ketika itu. Seperti permainan CS, Half-Life juga seronok untuk dimainkan bersama rakan-rakan melalui sambungan LAN.

Namun, berbeza dengan CS, permainan ini memerlukan pemain untuk mengumpul senjata yang terdapat di atas lantai atau daripada musuh yang di bunuh dan bukan membelinya. Half-Life 2 turut dihasilkan selepas itu, namun sambutan yang diterima tidak sehebat siri yang pertama ini.

Konsol : PC, Playstation 2


4. Command & Conquer : Red Alert 2 (2000)



Walaupun banyak edisi Command & Conquer pernah dihasilkan, Red Alert 2 merupakan permainan paling popular dalam siri permainan tersebut. Ia telah dibangunkan oleh Westwood Pacific dan diterbitkan oleh EA Games, permainan ini adalah antara permainan strategi masa sebenar peperangan terbaik sepanjang zaman.

Black Eagles, Tesla Tank, Grand Cannon, Sniper adalah antara unit yang mampu untuk menjadi penentu kemenangan seseorang pemain. Selain itu, sambungan permainan ini iaitu Red Alert 2 Yuri Revenge juga mendapat sambutan yang hangat.

Konsol : PC


5. Metal Slug X(1999)



Permainan yang tidak asing lagi bagi mereka yang menyukai permainan video ber-genre 'lari dan tembak'. Siri Metal Slug dibangunkan buat pertama kali oleh syarikat SNK pada tahun 1996, namun edisi Metal Slug X muncul sebagai permainan terbaik dalam siri ini.

Ia adalah merupakan naiktaraf kepada siri Metal Slug 2. Pemain yang merupakan ejen khas kerajaan bertanggungjawab untuk menumpaskan pelbagai kumpulan penjahat seperti tentera pemberontak, mumia serta makhluk asing untuk memenangi permainan ini.

Konsol : PC, Arked, Neo Geo, PlayStation


Selain daripada lima permainan yang berada dalam senarai di atas, terdapat beberapa lagi permainan yang harus diberi pengiktirafan khas. Antaranya ialah permainan Contra, Tony Hawk dan DOOM II. Jika ada permainan yang mengimbau kenangan indah anda sewaktu kecil dahulu yang tidak tersenarai, kongsikan bersama kami di ruangan komen, okay.

 

Sumber : Pelbagai