Permainan mudah alih telah menjadi pilihan ramai dan jika kita lihat corak peningkatannya bermula sekitar tahun 2014 / 2015. Sekarang ini, segmen ‘gaming’ pada peranti mudah alih mempunyai bilangan pemain antara yang paling banyak di dunia.
Oleh itu, tidak mustahil sesetengah permainan mudah alih mempunyai kutipan hingga berjuta-juta dan ada yang mencecah bilion ringgit dalam masa 1 bulan sahaja. 5 permainan mudah alih dengan kutipan duit tertinggi pada bulan Mei adalah seperti berikut:
Honor of Kings
Honor of Kings merupakan sebuah permainan bertemakan MOBA (multiplayer online battle arena) yang sangat terkenal dan berada di kedudukan pertama di pasaran China. Setakat Mei, HoK telah mengutip sebanyak USD268 juta (~RM1.180 bilion) daripada permain-pemainnya.
95% daripada jumlah tersebut daripada China manakala 1.7% daripada Taiwan dan 1.7% lagi daripada Thailand. Buat masa ini, HoK tidak tersedia buat pemain global tetapi berdasarkan artikel ini, HoK versi global akan dilancarkan tidak lama lagi.
PUBG Mobile
Permainan mudah alih ini merupakan antara permainan ‘battle royale’ paling dikenali di dunia. Sama seperti HoK, PUBG Mobile juga merupakan sebuah ‘mobile game’ daripada Tencent dan berada pada kedudukan kedua dalam kutipan tertinggi untuk Mei, 2022.
PUBG Mobile telah mengutip pulangan kasar sebanyak USD206.3 juta (~RM908 juta). 67% daripada jumlah tersebut datang daripada pengguna di China diikuti 6.7% daripada Turkiye.
Candy Crush Saga
Siapa tidak kenal akan permainan mudah alih nostalgia ini dan Candy Crush merupakan salah satu ‘game mobile’ dengan jumlah muat turun terbanyak di dunia.
Berdasarkan statistik yang ditunjukan, Candy Crush telah mengutip sebanyak USD38 juta (~RM167 juta) pada bulan Mei.
Genshin Impact
Genshin Impact merupakan sebuah permainan yang boleh dikatakan baharu kerana umurnya masih belum mencecah 2 tahun lagi sejak hari pertama pelancarannya.
Selain itu, Genshin Impact merupakan aplikasi permainan dengan kutipan paling tinggi untuk Cognosphere (sebelum ini dikenali Mihoyo) dengan kutipan USD37 juta (~RM163 juta) hanya USD 1 juta dibelakang Candy Crush.
Coin Master
Coin Master merupakan sebuah permainan mudah alih dengan corak permainan seakan-akan sama dengan Clash of Clan tetapi dengan beberapa ciri yang berbeza seperti memutarkan roda untuk mendapatkan ganjaran, naik ke tahap yang lebih tinggi dan banyak lagi.
Pada bulan Mei lepas, Coin Master berjaya membawa kutipan sebanyak USD18 juta (~RM80 juta) dan merupakan yang paling tinggi di kalangan permainan mudah alih dalam kelasnya.
Pasaran permainan mudah alih telah menjana sekitar USD6.8 bilion (~RM30 bilion) daripada perbelanjaan pemain di App Store dan Play Store setakat bulan Mei ini sahaja. 3 negara paling banyak berbelanja adalah Amerika Syarikat, China dan Jepun dengan masing-masing mewakili 28%, 20.4% dan 17.8%.
Sumber: Sensor Tower