5 Inovasi Telefon Pintar Yang Gagal Suatu Masa Dahulu


Inovasi sering dikaitkan sesuatu yang baharu. Yang mana dalam konteks telefon pintar sesuatu yang baharu diperlukan untuk menjual produk.

Tetapi adakalanya bukan semua inovasi membuahkan hasil atau wang. Bayangkan kos dan sumber yang dibazirkan untuk menghasilkan sesuatu inovasi tetapi realitinya ia gagal kerana tidak mendapat sambutan.

Nak buat macam mana. Memang itu hakikat orang berniaga. Bila ada banyak persaingan, inovasi perlu dilakukan supaya produk anda lebih menarik dari orang lain.

Untuk artikel kali ini, mari kita melihat 5 inovasi telefon pintar yang gagal suatu masa dahulu.

1. Samsung Galaxy Beam - Projektor Terbina


Idea menyertakan sebuah projektor terbina dalam sebuah telefon pintar nampak begitu menarik. Perkara ini telah direalisasikan oleh Samsung melalui Galaxy Beam.

Kapsyen: Samsung Galaxy Beam


Konsepnya nampak menyeronokkan, keluarkan sahaja telefon kemudian pancarkan projektor ke dinding untuk menayangkan video atau filem.

Tetapi realitinya, ia sukar untuk membina sebuah projektor yang betul-betul berkualiti dalam sebuah telefon. Galaxy Beam hanya boleh memancarkan kecerahan hanya setakat 15 lumens berbanding kebanyakan projektor murah yang rata-rata mempunyai 2000 lumen.

Jadi, kualiti pancarannya adalah yang terbaik jika keadaan betul-betul gelap. Selain itu, jangka hayatnya juga hanya biasa-biasa sahaja walaupun ia hadir dengan fizikal yang tebal dan berat.



Seperkara lagi adalah disebabkan projektor tersebut, telefon mudah untuk panas menjadikannya tidak selesa untuk dipegang.

Galaxy Beam merupakan satu projek FYP yang menarik, namun secara praktikalnya ia tidak mempunyai banyak kegunaan selain semata-mata riak dalam perjumpaan keluarga sahaja.

2. LG G Flex - Skrin Melengkung


Sebab mengapa TV dan monitor besar mempunyai lengkung adalah untuk meminimumkan kualiti skrin yang merosot akibat pandangan mata semakin jauh dari skrin.

Tetapi itu TV, jika buat skrin melengkung untuk telefon pintar bagaimana pula?

Inilah yang terjadi pada LG G Flex, bukan skrin sahaja melengkung tetapi kerangka badannya pun turut ikut sama.

LG G Flex menggunakan panel P-OLED melengkung yang dikatakan dapat meningkatkan pengalaman melihat media seumpama sebuah TV besar.

Kapsyen: LG G Flex


Namun hakikatnya ia hanyalah gimik semata-mata. Pengguna sendiri tidak dapat mencari apa kelebihan sebenar skrin melengkung ini kerana skrin telefon pintar adalah kecil dan tiada manfaat jika melengkungkannya.

Resolusi skrin G Flex pada ketika itu juga rendah hanya setakat HD sahaja. Jadi, skrinnya tidaklah beresolusi tinggi. Agak janggal kerana idea melengkungkan skrin adalah untuk pengalaman tontonan yang memuaskan. Tapi mahu puas hati mana kalau skrin pun tak tajam?



LG G Flex nampak sebuah kejuruteraan produk kerana tahukah anda disebabkan kerangkanya melengkung, bateri yang digunakan turut melengkung juga. Telefon ini juga boleh ditekan sehingga rata sepenuhnya menjadikan ia sebuah telefon yang unik.

Namun, tiada sebab untuk melengkungkan skrin disebabkan skrin telefon pintar tidak cukup besar seperti TV dan monitor.

3. Samsung Air View - Guna Telefon Tanpa Sentuh


Menggunakan telefon tanpa menyentuhnya adalah satu idea gempak yang  telah diperkenalkan oleh Samsung melalui Air View pada Galaxy S4, Galaxy S5, Note 3, dan Note 4.



Anda hanya perlu gerakkan tangan ke atas ke bawah sama seperti tetikus tanpa mengklik skrin.

Tetapi, ini memang betul-betul gimik. Saya sebelum ini pernah menggunakan ciri ini pada Galaxy S5 milik kawan. Dari penggunaan, jari perlu betul-betul dekat sekitar 2cm pada skrin untuk digunakan. Jika jauh dari itu, ia tidak berfungsi.

Kalau sudah dekat 2cm sebegitu, macam sudah tidak ada beza dengan terus menggunakan skrin sahaja.

Ciri ini tidak lagi disertakan pada model-model terbaharu Samsung dan kekal sebagai gimik terburuk Samsung sepanjang zaman.

4. HTC Salsa dan HTC ChaCha - Telefon Khas Facebook


Tahun 2011, Facebook semakin popular dengan jumlah pengguna yang bertambah sehari ke sehari. Saya yang masih sekolah menengah pada ketika ini pun seronok bermain Facebook disebabkan ia satu pengalaman sosial internet baharu yang tidak pernah dialami sebelum-sebelum ini.

Kapsyen: HTC ChaCha dan HTC Salsa


Disebabkan itu, mungkin masuk akal jika ada telefon pintar khusus Facebook dicipta untuk mengambil kesempatan atas populariti platform media sosial itu.

Maka lahirlah HTC Salsa dan HTC Chacha. Ideanya adalah memaksimumkan penggunaan Facebook pada telefon dengan menyertakan butang fizikal khas Facebook.

Bukan itu sahaja, butang itu juga mempunyai input berbeza berdasarkan konteks skrin kandungan. Selain membuka Facebook, butang itu juga boleh digunakan untuk berkongsi pautan kepada kiriman dan lain-lain yang berkaitan.

Pada zaman ini, telefon yang mempunyai butang Facebook khas mungkin sangat sesuai untuk pengguna tegar platform itu. Namun, selang beberapa tahun kemudian, aplikasi Facebook sendiri sudah semakin baik menjadikan butang tersebut satu tunggul yang minta ditekan.

HTC Salsa dan HTC ChaCha seakan keliru dengan asimilasi antara dunia moden dan juga kegemilangan butang fizikal.

Walaupun sekadar gimik yang tidak diteruskan pada era aplikasi dalam skrin sentuh sekarang ini, percubaan HTC Salsa dan HTC ChaCha boleh dikatakan berani kerana mencuba sesuatu.

5. Samsung Smart Stay - Ciri Jimat Bateri


Ciri yang diperkenalkan untuk Samsung pada Galaxy S4 untuk menjimatkan telefon pintar dengan Smart Stay.

Caranya adalah menggunakan penjejakan mata dimana jika anda tidak melihat skrin, telefon akan mematikan skrin sehinggalah anda melihatnya kembali.

Kapsyen: Samsung Smart Stay


Contoh penggunaan adalah jika anda sedang menaip mesej, kemudiannya anda terpaksa berhenti kerana ada hal lain. Sama juga ketika menonton video dan anda dikacau oleh orang lain, video akan terhenti seketika.

Namun, ciri ini tersangatlah gimik dan tidak diperlukan langsung pada telefon. Ia tidak berfungsi seperti diingini serta sangat perlahan.


Nak jimat bateri? Matikan sahaja skrin dengan menekan butang kuasa. Ciri Smart Stay ini patutnya tidak wujud kerana hanya gimik semata-mata.

Walaupun tidak dinafikan seuatu inovasi itu perlu dilakukan untuk menjual telefon masing-masing, namun dalam kesemua inovasi itu, bukan kesemuanya berguna.