Sejak 1901, Hadiah Nobel diberikan kepada individu dan organisasi yang menghasilkan pencapaian besar untuk manfaat manusia, selaras dengan hasrat pengasasnya, pencipta Alfred Nobel.
Pemenang Hadiah Nobel 2026 akan diumumkan antara 5 hingga 12 Oktober, bermula dengan Hadiah Nobel dalam Fisiologi atau Perubatan pada Isnin, 5 Oktober.
Berikut lima perkara menarik mengenai Hadiah Nobel dan pengasasnya.
1. Ada Pemenang Yang Tidak Dapat Hadir Ke Majlis
Sejak 1901, lima penerima Hadiah Keamanan Nobel tidak dapat menghadiri majlis penganugerahan di Oslo kerana ditahan atau dikenakan sekatan.
Pada 1936, wartawan dan aktivis keamanan Jerman, Carl von Ossietzky, ditahan di kem tahanan Nazi.
Pemimpin pembangkang Myanmar, Aung San Suu Kyi pula berada dalam tahanan rumah ketika memenangi hadiah itu pada 1991. Walaupun diberi kebenaran oleh junta untuk keluar negara, beliau memilih untuk tidak berbuat demikian kerana bimbang tidak dibenarkan pulang.
Pada 2010, pembangkang China Liu Xiaobo berada di penjara ketika memenangi Hadiah Keamanan Nobel. Kerusinya dibiarkan kosong ketika majlis berlangsung.
Aktivis hak asasi manusia Belarus, Ales Bialiatski pula berada dalam penjara ketika memenangi hadiah itu pada 2022 dan diwakili isterinya, Natalia Pinchuk.
Setahun kemudian, aktivis Iran Narges Mohammadi turut berada dalam tahanan di Penjara Evin ketika Hadiah Keamanan Nobel diberikan kepadanya.
2. Pemenang Termuda Dan Tertua
Pada 2014, aktivis hak asasi manusia Pakistan, Malala Yousafzai menjadi penerima Hadiah Nobel termuda dalam sejarah pada usia 17 tahun.
Antara penerima muda lain ialah Lawrence Bragg dari Australia yang memenangi Hadiah Nobel Fizik bersama bapanya pada 1915 ketika berusia 25 tahun. Penyelidikan yang membawa kepada kemenangan itu dilakukan ketika beliau berusia 21 tahun.
Aktivis Iraq, Nadia Murad turut menerima Hadiah Keamanan Nobel pada usia 25 tahun pada 2018 atas usahanya memperjuangkan komuniti Yazidi.
Sebaliknya, John Goodenough dari Amerika Syarikat menjadi penerima Nobel tertua apabila memenangi Hadiah Nobel Kimia pada 2019 ketika berusia 97 tahun atas sumbangannya terhadap pembangunan bateri litium-ion yang digunakan dalam telefon pintar dan kenderaan elektrik.
Setahun sebelumnya, Arthur Ashkin memenangi Hadiah Nobel Fizik pada usia 96 tahun.
{suggest}
3. Hadiah Nobel Selepas Kematian
Sejak 1974, peraturan Yayasan Nobel menetapkan hadiah itu tidak boleh diberikan kepada individu yang telah meninggal dunia.
Bagaimanapun, seseorang penerima masih boleh menerima Hadiah Nobel jika meninggal dunia selepas pengumuman pemenang pada Oktober tetapi sebelum majlis rasmi pada Disember.
Sebelum perubahan peraturan tersebut, hanya dua individu pernah menerima Hadiah Nobel secara anumerta.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dari Sweden, Dag Hammarskjold, meninggal dunia dalam nahas pesawat pada 1961 sebelum dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel pada tahun sama.
Pada 1931 pula, Hadiah Nobel Kesusasteraan diberikan secara anumerta kepada penyair Sweden, Erik Axel Karlfeldt.
Satu kes luar biasa berlaku pada 2011 apabila jawatankuasa Hadiah Nobel dalam Perubatan memilih Ralph Steinman dari Kanada tanpa mengetahui beliau telah meninggal dunia tiga hari sebelum pengumuman.
Yayasan Nobel kemudiannya memutuskan untuk tetap memberikan hadiah tersebut kepadanya.
4. Hanya Sekitar 10% Hadiah Nobel Diberikan Kepada Wanita
Daripada 633 Hadiah Nobel yang diberikan sejak 1901, hanya 68 diberikan kepada wanita, mewakili kira-kira 10%.
Walaupun jumlah itu semakin meningkat sejak awal 2020-an, bidang sains masih mencatatkan penyertaan wanita paling rendah dalam kalangan pemenang.
Daripada keseluruhan penerima mengikut bidang, hanya lima wanita memenangi Hadiah Nobel Fizik daripada 230 penerima, tiga daripada 99 penerima bagi ekonomi, lapan daripada 200 penerima kimia dan 14 daripada 232 penerima perubatan.
Marie Curie menjadi wanita pertama memenangi Hadiah Nobel pada 1903.
Beliau juga kekal sebagai satu-satunya wanita yang pernah memenangi dua Hadiah Nobel, masing-masing dalam Fizik pada 1903 dan Kimia pada 1911.
5. Alfred Nobel Juga Seorang Peminat Puisi
Alfred Nobel terkenal dalam sejarah sebagai pencipta dinamit, tetapi beliau juga sangat meminati puisi bahasa Inggeris, termasuk karya Percy Bysshe Shelley dan Lord Byron.
Nobel sendiri menulis puisi sepanjang hidupnya, kadangkala dalam bahasa Sweden tetapi kebanyakannya dalam bahasa Inggeris.
Dalam sepucuk surat kepada rakannya, beliau mengakui tidak pernah menganggap hasil tulisannya sebagai puisi sebenar dan menulis sekadar untuk mengurangkan kemurungan atau memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris.
Pada 1862, ketika berusia 29 tahun, beliau turut menulis kepada seorang wanita muda bahawa fizik ialah bidangnya, bukannya penulisan.
Pada 1896, tahun beliau meninggal dunia, Nobel menghasilkan sebuah tragedi kontroversi empat babak bertajuk “Nemesis”, yang diinspirasikan daripada karya Shelley, “The Cenci”. – AFP
