OnePlus baru-baru ini telah memulakan kerjasama tiga tahun bersama Hasselblad, pembuat kamera dari Sweeden yang sangat ikonik. Hasil dari kerjasama ini akan dimulakan menerusi siri OnePlus 9 yang bakal dilancarkan beberapa hari sahaja lagi.
Berpengkalan di Gothenburg, Sweeden, Hasselblad popular dikenali sebagai pengeluar kamera format medium sejak dari perang dunia ke-2. Hasselblad juga sangat dikenali kerana merupakan antara jenama kamera termahal di dunia setanding seperti jenama Leica.
Ini merupakan 5 fakta tentang Hasselblad yang mungkin anda belum tahu lagi:
Gambar Manusia Pertama Di Bulan Diambil Dari Kamera Hasselblad
Tahukah anda bahawa kamera Hasselblad digunakan untuk mengambil gambar manusia pertama di bulan?

Gambar ikonik ini telah diambil semasa misi Apollo 11 pada 21 Julai 1969. Dua kamera Hasselblad telah dibawa ke bulan iaitu Hasselblad Data Camera (HDC) bersama lensa Zeiss Biogon 60mm f/5.6 dan filem 70mm serta Hasselblad Electric Camera (HEC) dengan lensa Zeiss Planar 80mm f/2.8.


Bermula tahun 1962, pihak NASA dan Hasselblad telah memulakan kerjasama untuk menghasilkan kamera yang tidak memanas dan mampu bertahan dalam suhu ekstrem di angkasa.
Hubungan Dengan DJI
Tahukah anda jenama dron terbesar di dunia DJI mempunyai majoriti pegangan Hasselblad?
Ia berlaku pada tahun 2017 yang mana DJI secara rasminya mempunyai pegangan terbesar untuk jenama Hasselblad. Walaupun DJI pakar dalam menghasilkan dron, pemilikan Hasselblad tidaklah bermakna mereka mahu beralih bidang kepada kamera format medium pula.

Menerusi model dron Mavic 2 Pro, DJI menggunakan kamera dari Hasselblad yang membuktikan DJI masih memerlukan kekuatan optik dari Hasselblad untuk mengukuhkan lagi jenama dron mereka.
Kamera Berharga RM198 Ribu
Hasselblad sememangnya dikenali sebagai pembuat kamera mewah, tetapi tahun 2018, mereka menarik ramai perhatian dengan memperkenalkan sebuah kamera digital berharga RM198 ribu – Hasselblad H6D-400c.

Mengapa kamera tersebut tersangat mahal? Ini adalah kerana H6D-400c mempunyai kemampuan untuk menggabungkan enam 100MP gambar kepada satu 400MP besar.
Ramai pengguna yang mempertikaikan siapa sahaja yang mahu beli kamera dengan harga sebegini. Tetapi Hasselblad menjelaskan kepada orang ramai bahawa H6D-400c ini ditujukan kepada kategori pasaran khas seperti muzium dan pustaka yang mahu menangkap gambar manuskrip dan perhiasan bernilai dalam kualiti tertinggi mereka.
The Beatles
Kenalkah anda dengan gambar album Abbey Road dari The Beatles ini?

Gambar ini diambil menggunakan kamera Hasselblad 500C dengan lensa Zeiss Distagon 50mm f/4 pada tahun 1969.

Diingati antara gambar ikonik sepanjang zaman, ia memaparkan penyanyi Lennon, McCartney, Harrison, dan Starr berjalan merentasi lintasan belang.
Abbey Road merupakan album ke-11 The Beatles dan juga album terakhir mereka yang dirakam bersama-sama.
Harga Kamera Hasselblad
Seperti yang diketahui, kamera Hasselblad dijual pada harga yang premium, namun ada sebab di sebalik mengapa harganya sebegitu.
Tahukah anda Hasselblad hanya menghasilkan sekitar 10,000 kamera sahaja setahun dari sebuah bangunan kecil 3 tingkat di Gothenburg, Sweden?

Kebanyakan kamera Leica pun turut dihasilkan di Sweden yang mana kos penghasilannya lebih tinggi berbanding negara-negara lain.
Tidak dilupakan Hasselblad, sama seperti Leica tidak menyasarkan kepada ramai pengguna.
Kamera Hasselblad juga diperbuat dari bahan binaan premium yang mana mereka mahukan kamera mereka kekal tahan lasak dan tidak ditelan zaman.