Aspek-Aspek Penting Yang Perlu Dikenal Pasti Sebelum Membeli Telefon Pintar

Setiap kali ingin membeli telefon pintar baharu, pasti kita akan berasa keliru atau dilema untuk membeli peranti yang terbaik untuk digunakan kecuali jika kita memang sudah ada telefon sasaran yang ingin dibeli.

Sampai sahaja di kedai telefon, pasti ada beberapa persoalan yang akan ditanyakan kepada penjual, bukan? Mana tidaknya, anda akan belanjakan ratusan malah ribuan ringgit kepadanya, pasti anda mahukan peranti yang terbaik.

Bagi yang mempunyai sedikit ilmu berkenaan telefon, tentu sudah tahu apa yang perlu ditanya. Namun, ada di antara kita yang kurang berpengetahuan mengenai telefon pintar.

Jadi, bagi membantu golongan ini mendapatkan peranti terbaik idaman mereka, kami akan senaraikan beberapa aspek penting yang perlu anda ketahui sebelum memilih telefon pintar baharu.

Tujuan anda mendapatkan telefon


Ini adalah perkara terpenting dalam senarai ini. Ketahui mengapa anda perlu membeli telefon baharu berkenaan. Selalunya, ada tiga perkara utama yang menjadi pilihan pengguna iaitu untuk kegunaan biasa, mengambil gambar atau bermain permainan video mudah alih.

Jika anda mahukan peranti untuk mengambil gambar, pastinya tetapan kamera perlu menjadi perhatian anda. Peminat games pula perlu melihat pada sistem cip yang ditawarkan manakala untuk pengguna biasa, cukup untuk mendapatkan peranti dengan RAM yang sederhana.

Kamera


Kualiti yang ada pada kamera telefon pintar hari ini adalah sangat baik. Atas sebab itu, kamera digital dilihat semakin kurang popular ketika ini.

Ini kerana kamera digital berharga lebih mahal dan kurang fungsi berbanding telefon pintar yang turut boleh digunakan bagi tujuan lain selain mengambil gambar.



Pada ketika ini, pengeluar nampaknya berlumba-lumba untuk membangunkan telefon dengan lensa kamera terbaik(dan terbanyak).

Pada amnya, lensa kamera dengan piksel yang besar akan memberikan kualiti foto yang lebih baik. Namun, ia bukanlah satu-satunya penentu bagi kualiti tangkapan kerana fotografi telefon pintar bergantung pada intergrasi di antara perisian dan peralatan(software-hardware).

Memori(RAM)


Memori atau RAM ini boleh diandaikan sebagai "otak" bagi setiap telefon pintar. Lebih besar saiz RAM, lebih banyak memori yang boleh disimpan.

Maka, sistem peranti akan dapat menyimpan data program yang lebih banyak lantas membolehkan aplikasi dibuka dengan lebih pantas sekiranya pengguna membukanya kembali.



RAM lebih besar juga membantu pengguna untuk mendapatkan pengalaman penggunaan yang lebih lancar dan mengelak daripada peranti mengalami masalah beku atau hang.

Ia juga memberi kesan kepada permainan video, namun impaknya tidaklah terlalu besar jika dibandingkan dengan cip pemprosesan.

Sistem Cip Pemprosesan(SoC)


Berbeza dengan RAM, SoC adalah sangat penting terutamanya bagi penggemar permainan video. Ini kerana sistem cip ini hadir dengan dua unit pemprosesan penting iaitu unit pemprosesan sentral(CPU) serta unit pemprosesan grafik(GPU).

Sistem cip yang lebih baik pastinya akan memberi pengalaman bermain yang lebih menyeronokkan kepada pemain.



Antara tips mudah untuk mengetahui sistem cip mana yang lebih baik ialah dengan melihat angka dibelakangnya. Sebagai contoh, Snapdragon 855 adalah lebih baik berbanding Snapdragon 845 dan Kirin 980 lebih berprestasi tinggi dari Kirin 970.

Bagaimanapun, perkara ini mungkin akan berubah pada masa akan datang sekiranya syarikat pengeluar mengubah cara mereka menamakan sistem cip selepas ini.

Kapasiti & Pengecasan Bateri


Bateri berkapasiti besar adalah penting kerana ia biasanya memberikan daya tahan yang lebih lama kepada telefon pintar.

Walaubagaimanapun, ia turut bergantung kepada beberapa aspek lain seperti cara penggunaan dan jenis skrin yang digunakan.



Selain kapasiti, pengecasan bateri juga perlu dititikberatkan. Berapa lama pengecasan yang diperlukan untuk mengecas sesebuah peranti turut boleh menjadi sebab mengapa seseorang itu membeli sesebuah telefon pintar.

Dengan perkongsian kali ini, diharapkan ia dapat membantu anda untuk mendapatkan telefon pintar terbaik yang sesuai dengan bajet, penggunaan dan kemahuan anda.

Teruskan bersama kami di Wiser.my untuk lebih banyak informasi dan berita mengenai dunia teknologi.

 

Sumber: Know Your Mobile   CNBC   Tom's Guide

 

Berkaitan