5 Aplikasi Yang Perlu Ada Ketika Melancong

Bagi anda yang gemar melancong, pasti tertanya aplikasi yang perlu ada pada setiap peranti sebelum memulakan perjalanan. Di sini kami sediakan beberapa aplikasi yang mungkin dapat membantu memudahkan perjalanan anda ketika melancong di dalam mahupun luar negara.

1. Moovit - Navigasi untuk semua jenis transit



Moovit direka untuk mengesan laluan transit awam dan masa perjalanan. Aplikasi ini membantu dalam meramal masa pengangkutan awam tiba di sesuatu stesen. Dengan hanya memasukkan destinasi dan membenarkan aplikasi ini mengesan lokasi semasa anda, pilih laluan yang dicadangkan oleh Moovit.

Sebaik sahaja transit, anda boleh mengikut laluan tersebut dan ia akan mengesan lokasi semasa anda dan semua perhentian di antara tempat bermula dan di mana anda mahu pergi, melihat berapa banyak hentian yang tinggal dan bila anda perlu berhenti. Anda juga boleh menyimpan destinasi yang anda telah pergi di dalam sistem aplikasi ini.



Moovit boleh didapati secara percuma pada peranti iOS dan Android di lebih daripada 3000 bandar , di seluruh 94 negara dan boleh digunakan dalam 94 bahasa.

2. MAPS.ME - Peta Luar Talian



MAPS.ME menyediakan peta luar talian secara percuma yang dapat menjimatkan data kerana tidak memerlukan internet. Ia sangat berguna terutamanya jika anda melancong ke luar negara. Peta dalam aplikasi ini dikemaskini oleh jutaan penyumbang di OpenStreetMap setiap hari. OpenStreetMap merupakan sumber alternatif terbuka untuk perkhidmatan peta popular.

Dalam mod luar talian, anda boleh menikmati fungsi lengkap seperti carian, navigasi suara, pengiraan semula penghalaan dan pengangkutan awam. Anda juga dapat mencari restoran, ATM dan tempat menarik. Jika berada dalam talian, anda boleh berkongsi lokasi dengan rakan, tambah bookmark dan juga boleh membuat tempahan hotel tanpa meninggalkan aplikasi ini.

Pembangun aplikasi ini menjanjikan MAPS.ME adalah percuma selamanya dan ia boleh dimuat turun di Google Play atau App Store.

3. XE Currency - Kadar Tukaran Wang Secara Langsung



XE Currency merupakan satu aplikasi yang menyediakan kadar tukaran asing daripada 170 mata wang global secara langsung yang akan dikemaskini setiap minit. Anda boleh memantau sehingga 10 mata wang pilihan dan boleh menyesuaikan senarai mata wang mengikut keutamaan anda yang tidak memerlukan log masuk.

Dengan aplikasi ini juga, anda boleh membuat pemindahan wang antarabangsa dalam 65 mata wang asing ke lebih 170 buah negara. Setkan peringatan supaya anda tidak terlepas kadar tukaran asing yang ditunggu. Namun, untuk mendapatkan fungsi ini, anda perlu log masuk terlebih dahulu.

Aplikasi ini tersedia di App Store dan Google Play.

4. Google Translate



Google Translate adalah salah satu aplikasi yang sangat berguna kepada ramai pengguna. Ia menawarkan kemudahan untuk terjemahan pada pelbagai jenis bahasa asing, disamping turut hadir dengan beberapa fungsi tambahan seperti terjemahan melalui kamera, mahupun melalui input suara. Aplikasi ini sangat berguna ketika anda melancong terutamanya ke negara seperti Jepun, China dan sebagainya kerana dapat menjadi pengantara untuk anda berinteraksi dengan penjual dan penduduk tempatan.

Muat turun Google Translate di App Store dan Google Play untuk menikmati semua fungsi yang tersedia.

5. Rome2rio



Rome2rio menjadikan perancangan perjalanan anda lebih mudah, ia menyediakan maklumat perjalanan dari pintu ke pintu dan enjin tempahan. Dengan hanya memasukkan mana-mana alamat, bandar, atau mercu tanda sebagai destinasi dan ia akan serta merta memaparkan semua pilihan perjalanan dan tempahan anda. Ia turut menunjukkan maklumat mengenai penginapan dan perkara yang perlu dilakukan.

Apa yang Rome2rio boleh lakukan?



Rome2rio menyediakan anggaran harga dan tempoh perjalanan penerbangan, kereta api, bas, feri, sewa kereta (termasuk kos minyak) dan sebagainya. Ia turut menyediakan butiran tempahan lebih dari 5000 syarikat di lebih 160 negara.

Rome2rio boleh dimuat turun di Google Play atau App Store secara percuma.

 

Berkaitan