5 Aplikasi Panggilan Video Yang Boleh Anda Gunakan Sepanjang PKP

Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kebanyakan syarikat telah meminta pekerja untuk melakukan aktiviti kerja dari rumah. Begitu juga dengan sekolah dan universiti yang mengadakan pembelajaran secara dalam talian. Oleh itu, pelbagai platform digital untuk panggilan audio dan persidangan video mula dipasang pada peranti masing-masing.

Tidak kurang juga yang masih tercari-cari kerana pada masa ini aplikasi yang ada bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Malah, ada pihak yang turut mengambil kesempatan akan perkara ini seperti yang berlaku pada aplikasi Zoom.

Jadi, di bawah ini kami senaraikan beberapa aplikasi alternatif bagi menggantikan aplikasi Zoom yang mempunyai pelbagai isu keselamatan.

1. Google Duo




Google Duo merupakan aplikasi mudah alih panggilan video yang dibangunkan oleh Google, tersedia pada sistem operasi Android dan iOS. Ia juga boleh digunakan melalui pelayar Google Chrome pada desktop dan komputer riba.

Menerusi Google Duo, anda boleh membuat panggilan video dalam definisi tinggi (HD). Ia dioptimumkan untuk rangkaian jalur lebar rendah dan mempunyai sokongan end-to-end encryption secara default. Duo didasarkan pada nombor telefon, yang membolehkan anda memanggil seseorang dari senarai kenalan.



Sokongan untuk panggilan video adalah sebanyak 8 orang dalam satu masa pada peranti iOS dan Android.

2. Microsoft Teams


Sekiranya tempat kerja anda menggunakan Office 365, anda mempunyai akses ke Microsoft Teams yang merupakan platform untuk bersembang, persidangan video, panggilan audio dan akses aplikasi Office seperti Word, Excel, dan PowerPoint untuk penyampaian dan perkongsian fail yang lancar.



Melalui aplikasi ini, anda boleh membuat panggilan video dengan 250 orang dalam satu masa, atau membuat presentation kepada 10,000 orang. Anda juga dapat berkongsi agenda mesyuarat sebelum persidangan, menjemput tetamu luar untuk menyertai mesyuarat, dan mengakses rakaman serta nota mesyuarat terdahulu. Mesyuarat boleh dijadualkan dalam aplikasi Teams atau melalui Outlook.

Microsoft Teams adalah termasuk dalam langganan Office 365, tetapi anda juga boleh memuat turun versi percuma. Pada Mac, Microsoft telah mengubah had di mana versi percuma memberikan akses kepada perniagaan atau sekolah tanpa perlu mempunyai langganan.

3. Lark Meetings


Lark Meetings merupakan aplikasi persidangan video dan audio percuma dengan panggilan tanpa had. Selain panggilan audio dan video yang lancar, anda boleh berhubung dengan 100 orang dalam satu masa. Antara yang boleh dilakukan dengan aplikasi ini termasuk pembelajaran dalam talian, mesyuarat, acara dalam talian dan sebagainya.



Di samping itu, perkongsian kandungan atau bahan-bahan mesyuarat dapat dipaparkan secara real-time sambil memfokuskan kepada perbincangan. Aplikasi Lark Meetings tersedia pada Windows, macOS, iOS dan Android.

4. Skype




Skype yang dimiliki oleh Microsoft tersedia pada iOS, Android, Windows dan Mac. Aplikasi ini menawarkan panggilan audio dan video, serta mesej. Mempunyai antaramuka yang mudah untuk digunakan, ia menyokong sehingga 50 orang bagi panggilan audio dalam satu masa. Bagi panggilan video pula, ia bergantung kepada jenis peranti yang digunakan.

Melalui aplikasi ini, anda boleh merakam, menyimpan dan berkongsi panggilan video serta mempunyai sokongan kapsyen dan sarikata secara langsung.

5. FaceTime




FaceTime merupakan aplikasi panggilan video dari Apple. Jika anda mempunyai iPhone, iPad atau Mac, ia membenarkan anda membuat panggilan video dari mana-mana senarai kenalan anda yang juga menggunakan peranti Apple. Selain panggilan video, FaceTime turut menawarkan panggilan telefon dan pesanan ringkas.

Walaupun tujuan utama FaceTime adalah perbualan video, anda juga boleh melakukan panggilan audio. Namun, ia dibenarkan jika hanya anda berada di tempat dengan sambungan Wi-Fi atau data dengan isyarat telefon yang lemah.

Apple turut menambah pilihan Group FaceTime yang dilepaskan melalui kemaskini iOS 12 pada tahun 2018. Ia memberikan anda akses untuk bersembang dengan 32 orang rakan dalam satu masa.

Jadi, mana satu pilihan anda? Semoga bermanfaat.

Berkaitan