5 Aplikasi Mudah Alih Dengan Peningkatan Populariti Tertinggi Pada Tahun 2018

Tak kira anda pengguna peranti Android mahu pun iOS, anda semestinya mempunyai pilihan koleksi aplikasi anda yang tersendiri. Pada hari ini, terdapat banyak pilihan aplikasi yang anda boleh dapatkan melalui Google Playstore atau pun Apple Appstore. Di Google Playstore sahaja terdapat lebih 3.5 juta aplikasi tersedia manakala di Appstore pula sebanyak 2.2 juta aplikasi.

Boleh dikatakan hampir setiap minggu akan ada sahaja aplikasi baru yang tersedia untuk dimuat turun melalui dua gerai aplikasi terbesar ini. Oleh itu, di sini kami akan senaraikan 5 aplikasi mudah alih yang popularitinya meningkat paling pantas sepanjang tahun 2018 ini. Harus diingatkan senarai ini adalah tidak menurut apa-apa turutan.

1.Smart Kit 360


Sistem Operasi            : Android


Jumlah Muat Turun  : 3,000,000+


Aplikasi ini merupakan satu aplikasi yang menggabungkan fungsi 32 aplikasi yang lain. Antara fungsi yang terdapat pada aplikasi ini ialah Money Converter, Voice Recorder, Compass dan banyak lagi. Saiz fail yang kecil iaitu 10MB sahaja ternyata membantu dalam menjimatkan penggunaan ruang simpanan peranti. Malangnya, peranti yang dibangunkan oleh pihak Kafui Utils ini cuma terdapat pada peranti Android sahaja.

2. Brave Browser


Sistem Operasi           : Android & iOS


Jumlah Muat Turun  : 3,000,000+

Brave Browser adalah salah satu pelayar internet terpantas yang terdapat di pasaran ketika ini. Melalui pelayar ini, sebarang iklan atau pop-ups windows akan disekat bagi memastikan pengalaman melayari internet yang lancar dan selesa. Selain itu, aplikasi ini juga terdapat fungsi mengoptimumkan penggunaan data selain penjimatan kuasa bateri. Brave Browser ini merupakan sebuah aplikasi yang dibangunkan oleh Brave Software dan boleh digunakan oleh pengguna Android dan iOS.

3. Sip Stories

Sistem Operasi            : Android & iOS

Jumlah Muat Turun  : 2,000,000+

Aplikasi ini amat sesuai untuk pembaca kami di Wiser.my. Sip Stories adalah satu aplikasi yang mengumpulkan berita atau perkembangan terkini berkaitan teknologi serta gajet di peringkat global. Aplikasi ini turut menawarkan kesimpulan ringkas berkenaan sesebuah artikel bagi memudahkan mereka yang sibuk dalam menjalani kehidupan seharian untuk kekal mengikuti perkembangan terbaru dunia teknologi. Sip Stories telah dibangunkan oleh Product Hunt.

4. PUBG Mobile


Sistem Operasi            : Android & iOS


Jumlah Muat Turun  : 20,000,000+

Apabila membincangkan berkenaan aplikasi mudah alih, tidak lengkap rasanya jika tidak menyentuh berkenaan aplikasi permainan video. PlayerUnknown's Battlegrounds Mobile atau PUBG Mobile merupakan aplikasi permainan video paling popular ketika ini. Aplikasi ini pernah mencatatkan jumlah pemain bulanan seramai 10 juta pemain pada awal tahun ini. Permainan ini telah dibangunkan oleh Tencent Games dan terdapat juga versi PC untuk permainan ini yang dibangunkan oleh syarikat Bluehole.

5. Try Not To Smile

Sistem Operasi            : iOS

Jumlah Muat Turun  : 2,000,000+

Bersesuaian dengan namanya, aplikasi ini akan menggunakan pengesan wajah melalui kamera hadapan peranti iPhone anda bagi mengesan senyuman di wajah anda. Beberapa video pendek akan dipaparkan mengikut kategori pilihan anda, dan sekiranya anda senyum, anda tewas. Apa yang menarik pada aplikasi ini, anda akan dapat berlawan dengan rakan-rakan anda siapa yang paling lama dapat bertahan daripada tersenyum. Aplikasi ini dibangunkan oleh Roland Horvath, seorang remaja dari Hungary.