40% Pengguna Jenama Lain Beralih Kepada Siri Xiaomi Mi 10

Dilancarkan di China pada 13 Februari, siri Mi 10 yang menawarkan Mi 10 dan Mi 10 Pro habis terjual dalam hanya 55 saat pada keesokan harinya. Walaupun tidak diketahui berapa banyak unit yang terjual, Xiaomi dikatakan berjaya menjana keuntungan sekitar 200 juta yuan hasil daripada jualan awal terbabit.

Berkaitan dengan pra-jualan tersebut, Xu Jieyun yang Pengurus Besar Perhubungan Awam Xiaomi telah berkongsi informasi menarik mengenainya. Menurut Jieyun, sekurang-kurangnya 40% pembeli pra-jualan siri Mi 10 adalah pengguna baru. Ini bermaksud, mereka sebelumnya menggunakan jenama lain tetapi kini beralih kepada peranti flagship Xiaomi. Ia melebihi jangkaan daripada pihak Xiaomi sendiri.



Namun begitu, perkara ini mungkin tidak mengejutkan kita kerana siri Mi 10 dipersenjatakan dengan beberapa kelengkapan terbaik untuk pengguna. Imbas kembali kepada penawaran yang dibuat, kedua-duanya dikuasakan oleh cip Snapdragon 865, RAM 8GB/12GB, storan 128GB/512GB, kamera selfi 20MP serta pengecasan pantas sehingga 50W untuk versi Pro.

Mi 10 Pro juga berjaya merangkul kedudukan teratas dalam carta DxOMark dimana ujian yang dijalankan meraih skor 124. Ia memintas Huawei Mate 30 Pro 5G yang kini berada di tangga kedua dengan skor 123.

Bagi pelancaran pasaran global, Xiaomi telah mengumumkan penangguhan ekoran pembatalan acara MWC2020 kesan daripada kembimbangan penularan wabak Covid-19.

Sumber: Weibo via GizChina