Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

4 Trend Telefon Pintar Yang Pengguna Paling Tak Suka

Posted on Mac 3, 2021

Setiap tahun, telefon pintar semakin maju serta menerima ciri dan fungsi yang semakin bertambah. Namun begitu ada sesetengah trend yang menjengkelkan yang masih melekat dan dijumpai pada banyak model telefon pintar.

Untuk itu, kami senaraikan 5 trend telefon pintar menjengkelkan yang patut dihentikan pada masa akan datang.

Kamera 2MP Sekadar Penambah Jumlah Lensa

Trend yang paling banyak dijumpai pada telefon bajet dan kelas pertengahan adalah unit modul kamera 2MP yang kurang berkualiti.

Sesetengah pengeluar memang suka mempromosikan telefon dengan jumlah kamera di belakangnya dan meletakkan modul 2MP adalah salah satu cara mereka untuk memperbanyakkan jumlah lensa.

Lensa 2MP yang biasanya digunakan adalah untuk makro, depth, atau mono yang boleh dikatakan tidak banyak memanfaatkan pengguna kerana saiz MP yang rendah.

Pengeluar sepatutnya memfokuskan kepada kualiti kamera berbanding kuantiti seperti kamera utama, sudut lebar, atau jika tetap mahukan makro, letaklah yang lebih berkualiti.

Semua Benda Adalah AI

Terma Artificial Intelligence (AI) atau kecerdasan buatan sangat banyak digunakan oleh pengeluar telefon pintar untuk melakukan ciri dan fungsi pada telefon itu.

Selalunya banyak dijumpai pada fungsi kamera seperti AI Camera, AI Portrait, AI Video dan lain-lain

Kebanyakan masanya, ia adalah tidak perlu dan bukan semua ciri dan fungsi yang dilakukan oleh pemprosesan adalah AI.

Permasalahannya adalah AI terlalu banyak digunakan sebagai ejen pemasaran sehinggakan perkara yang betul-betul didefinisikan sebagai AI tenggelam dari pandangan pengguna biasa.

Skrin Lengkung

Ramai pengguna yang sangat tidak menyukai ciri skrin melengkung pada telefon mereka. Walaupun ia dilihat cantik dan nampak futuristik, dari segi praktikalnya, ia tidak banyak manfaat.

Yang pertama skrin pada bahagian sisi lengkung tersebut mudah terdedah dengan hentakan apabila jatuh, seterusnya meninggikan kos membaik pulih.

Keburukan yang lain adalah susah untuk menavigasi telefon di kawasan lengkungan, perubahan warna, dan juga sukar untuk mencari pelindung skrin yang betul-betul menutupi keseluruhan skrin.

Perkara ini tidak menjadi jika skrin itu direka secara rata. Walaupun ramai pengguna sangat tidak menyukai skrin melengkung ini, masih ramai pengeluar yang tetap menghasilkannya atas alasan selesa untuk digenggam.

Model Hampir Sama Bawah Satu Jenama

Untuk sesuatu jenama itu, ia akan mengeluarkan beberapa siri di bawahnya yang ditujukan untuk pelbagai golongan dan kategori. Namun ada masanya, ia sangat mengelirukan kerana tiada banyak perbezaan lantas menimbulkan pertanyaan mengapa perlu wujud sampai dua model yang hampir sama.

Seperti contoh, realme yang hadir dengan siri Narzo 20 yang mempunyai spesifikasi lebih kurang dengan barisan utama realme 7. Harga kedua-dua juga seakan sama yang mengelirukan pengguna kerana perlu membandingkan keduanya untuk mencari perbezaan.

Situasi juga boleh dilihat dalam jenama Samsung. Jika dahulu, Samsung hanya mempunyai siri A sahaja untuk memfokuskan kepada kategori bajet dan kelas pertengahan. Sekarang wujud pula siri M yang kadang kala tiada banyak bezanya dengan model dari siri A.

Mungkin ada sebab kukuh terutamanya dari alasan bisnes, namun untuk pengguna biasa, ia hanya akan mengelirukan sahaja.

 

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress