4 Servis Telco Terjejas, Kabin Menara Komunikasi Felda Seberang Tayor Terbakar



Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini memaklumkan bahawa telah berlakunya satu insiden kebakaran melibatkan kabin menara komunikasi di Menara Felda Seberang Tayor, Kemaman Terengganu.

Ekoran insiden itu, ia turut menjejaskan perkhidmatan di beberapa buah menara yang bersambungan iaitu di Felda Air Puteh, Lubuk Lesong, Kg. Paman, Ladang Boustead, Kg. Pasir Gajah, Kg. Lubuk Lesung, Kg. Pasir Semut, Kg. Tebak dan Kg. Teladas.

Kejadian yang berlaku sekitar pukul 5.58 petang pada hari Isnin 30 Ogos 2021 lalu melibatkan sebuah menara komunikasi milik pihak Desabina Industries Sdn Bhd yang digunakan oleh pihak Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile.

Kebakaran itu memusnahkan semua peralatan di dalam kabin, bahagian dalam kabin dan bekalan elektrik di menara berkenaan namun tidak melibatkan struktur menara sedia ada.

Sehubungan itu, semua penyedia perkhidmatan yang bergantung kepada menara tersebut telah mengambil langkah sementara dengan menggerakkan Mobile Communication Vehicle (MCV) dan Portable Base Transceiver Station (PBTS) ke lokasi kejadian untuk memberikan perkhidmatan sehingga kerja-kerja baik pulih siap sepenuhnya, yang dijangkakan selewat-lewatnya Isnin depan.

SKMM menyatakan, punca kebakaran di kabin menara komunikasi berkenaan masih dalam siasatan.

Sumber: SKMM