Anda baru sahaja membeli peranti pintar baharu. Selepas beberapa ketika berlalu, anda kurang pasti jika peranti pintar yang dibeli adalah asli atau tidak. Mungkin juga ia peranti klon, mana tahu bukan? Untuk memudahkan anda mengenalpasti sama ada peranti yang dibeli asli atau tidak, anda boleh ikuti langkah ringkas di bawah ini.
Langkah pertama – Periksa spesifikasi peranti
Ini adalah langkah pertama yang perlu dilakukan untuk menyemak keaslian peranti pintar. Anda boleh bandingkan spesifikasi peranti yang dibeli dengan sumber yang sahih seperti laman sesawang peranti tersebut sumber pihak ketiga seperti www.gsmarena.com. Anda juga digalakkan untuk membuat perbandingan lebih dari satu laman sesawang untuk memastikan tiada perbezaan spesifikasi antara mereka.
Anda juga boleh menyemak spesifikasi peranti pintar melalui Settings > Phone dan mengesahkan butiran spesifikasi anda di situ. Cara lain untuk menyemak adalah menggunakan aplikasi pihak ketiga seperti AIDA64 dan CPU-Z dari gedung aplikasi platform anda.
Langkah Kedua – Bandingkan dengan peranti yang dijual melalui pengedar yang sah
Bukanlah satu kesalahan untuk membeli peranti melalui pengedar yang tidak sah. Ini adalah kerana adakalanya mungkin ada tawaran yang lebih menarik berbanding dengan peranti yang dijual secara sah. Tetapi anda perlu cakna dengan hadiah percuma atau harga istimewa yang ditawarkan. Jika harga peranti tersebut lebih murah berbanding dengan pengedar sah, berkemungkinan ia tidak menyertakan aksesori ataupun hadir dengan akesori dengan jenama yang lebih murah.
Jika fungsi fizikal peranti seakan janggal dan pelik, boleh jadi ia tidak asli. Bawa peranti anda ke pengedar sah yang berhampiran dan bandingkannya dengan peranti yang dijual di sana. Anda boleh juga menyemak waranti peranti tersebut, sama ada ia dari jenama pengeluar tersebut ataupun dari pengedar tersebut.
Langkah Ketiga – Periksa IMEI peranti anda
IMEI ataupun nama panjangnya International Mobile Equipment Identity boleh diterjemahkan secara mudah sebagai number identiti unik untuk sesebuah peranti pintar. IMEI peranti boleh diperoleh dengan mendail *#06# pada aplikasi telefon dan anda akan menerima kembali 15 digit nombor. Jika nombor yang diterima sama dengan nombor IMEI pada kotak, maka anda tidak perlu risau dengan keasliannya.
Langkah Keempat – Pastikan peranti disahkan SIRIM
Untuk langkah terakhir, biarkan pihak berkuasa yang mengesahkan keaslian peranti untuk anda. SIRIM merupakan piawaian untuk produk di Malaysia. Maka jika peranti anda hadir dengan pelekat SIRIM, bermaksud ia asli.
Anda juga boleh menyemak nombor IMEI peranti dengan SIRIM menggunakan pautan ini: https://ecomm.sirim.my/sirimenquiry/search_IMEI.aspx.
Kredit artikel asal: CFM
Sumber: SIRIM, Consumerinfo.my