3 Perkara Utama Yang Anda Perlu Nilai Sebelum Membeli Telefon Pintar Baru

Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak syarikat pengeluar telefon pintar yang berlumba-lumba melancarkan peranti masing-masing. Sebut sahaja, kelas peranti atau pertengahan, untuk bermain permainan video atau swafoto, semua jenis telefon pintar sudah tersedia di pasaran sekarang. Ia sering membuat mereka yang mahu membeli telefon baru rambang mata untuk memilih telefon yang ingin dibeli.

Namun, sebelum membeli telefon pintar, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian terlebih dahulu. Di sini kami akan tampilkan tiga perkara yang boleh dianggap paling penting perlu anda ambil tahu sebelum membeli telefon baru.

1.Bajet



Dalam membeli apa sahaja jenis barangan, bajet adalah perkara paling penting untuk diambil kira. Jika anda mempunyai bajet yang besar, mungkin tiada masalah untuk anda memiliki peranti kelas perdana. Namun jika bajet anda adalah sederhana, tidak perlu untuk anda meminjam semata-mata untuk membeli peranti kelas perdana. Gunakan bajet yang ada dengan bijak supaya anda tidak terbeban dengan hutang kelak.

Kini, terdapat banyak pilihan peranti kelas pertengahan yang berharga bawah RM 1,500 yang mempunyai spesifikasi yang baik seperti Oppo F7, Vivo V9 serta Nubia Z17 Mini.

2.Kegunaan



Kenal pasti terlebih dahulu berkenaan tujuan utama anda mahu membeli telefon baru tersebut. Jika anda meminati swafoto, anda mungkin perlu melihat pada kualiti kamera hadapan peranti, dan jika anda mahukan kepuasan ketika bermain permainan video pula, cip pemprosesan, kapasiti bateri serta RAM adalah perkara yang perlu anda nilai terlebih dahulu.

Untuk peminat swafoto, Oppo F7 adalah peranti yang sesuai selain Samsung Galaxy S9 yang jauh lebih mahal manakala bagi mereka yang gemar bermain permainan video pula, kini adalah masa yang terbaik untuk anda kerana peranti seperti Nubia Red Magic dan Xiaomi Black Shark baru sahaja dilancarkan di pasaran.

3. Umur Peranti



Umur adalah perkataan yang paling sesuai untuk menentukan tempoh berapa lama sesebuah peranti itu sudah berada dalam pasaran. Perkara ini adalah penting kerana pengeluar peranti pada umumnya akan menyokong kemaskini perisian sesebuah peranti itu selama 2 hingga 3 tahun sahaja.

Jadi, jika peranti yang anda mahukan sudah berada di pasaran sekitar tempoh itu, adalah dinasihatkan untuk anda cuba mencari peranti lain yang mempunyai spesifikasi hampir serupa tetapi lebih baru berada di pasaran.