21 Perkara Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Dan Selepas Mengambil Vaksin COVID-19

Seperti yang semua sedia maklum, Malaysia dijadualkan akan menerima vaksin COVID-19 pada penghujung bulan Februari nanti.

WalaubagaImanpun, ia mungkin akan mengambil masa sedikit lama sebelum diterima penerimanya.

Ini kerana proses penilaian bagi meluluskan vaksin COVID-19 oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan mengambil masa dari 90 hingga 120 hari selepas kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin terbukti sesuai untuk digunakan di Malaysia.

Kepada yang tertanya-tanya berkaitan beberapa perkara yang masih kurang jelas tentang vaksin Covid-19, di sini dikongsikan 21 info yang perlu anda tahu sebelum dan selepas mengambil vaksin COVID-19.

12 perkara yang perlu anda tahu sebelum mengambil vaksin COVID-19:-

  1. Hanya Individu yang berusia 18 tahun dan ke atas sahaja boleh mengambil vaksin COVID-19.

  2. Pemberian vaksin akan dilakukan secara suntikan sama ada satu atau dua dos bergantung kepada jenis vaksin yang diterima. Jika anda menerima vaksin yang perlukan 2 dos suntikan, anda perlu memastikan mendapatkan dos kedua dari jenis yang sama pada tarikh ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia selepas menerima dos pertama vaksin tersebut.

  3. Anda tidak boleh mengambil jenis vaksin COVID-19 yang berbeza.

  4. Jika anda ada mengambil vaksin lain seperti vaksin Influenza, anda perlu menunggu sekurang-kurangnya 14 hari selepas menerima vaksin tersebut sebelum mendapatkan vaksin COVID-19.

  5. Anda perlu memaklumkan kepada doktor atau jururawat sebelum anda diberi vaksin jika anda mempunyai alahan serius terhadap sebarang vaksin, ubat-ubatan atau makanan.

  6. Anda dinasihatkan tidak membeli vaksin COVID-19 dari internet kerana vaksin tersebut akan diberikan secara percuma.

  7. Program vaksinasi COVID-19 yang akan diberikan kerajaan secara percuma ini tidak diberikan secara serentak. Sebaliknya akan dilaksanakan secara berperingkat di mana petugas barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi yang akan menerimanya terlebih dulu.

  8. Jika anda disahkan positif atau disyaki dijangkiti COVID-19 dalam tempoh 14 hari, anda dikategorikan sebagai pesakit COVID-19 sekaligus perlu menangguhkan pengambilan vaksin.

  9. Walaubagaimanapun, jika anda pernah dijangkiti dan telah sembuh dari COVID-19, anda boleh mengambil vaksin tersebut.

  10. Vaksin COVID-19 yang akan diperolehi kerajaan nanti tidak akan diberikan kepada kanak-kanak buat masa ini. Ini kerana tiada data dan keberkesanan vaksin terhadap kumpulan tersebut. Tetapi ia akan diberikan kepada kumpulan ini jika kajian klinikal menunjukkan vaksin ini selamat dan berkesan terhadap kanak-kanak pada masa hadapan.

  11. Mengambil vaksin COVID-19 akan menyebabkan kesan sampingan yang ringan seperti yang dilaporkan termasuklah demam, menggigil, rasa letih, pening, alahan dan lain-lain.

  12. Pengambilan vaksin COVID-19 tidak diwajibkan sebaliknya adalah secara sukarela.


Ini pula 9 perkara yang perlu anda tahu selepas mengambil vaksin COVID-19:-

  1. Jika anda sudah mengambil vaksin COVID-19 tetapi mahu pula mengambil vaksin lain seperti vaksin influenza, anda perlu menunggu sekurang-kurangnya 28 hari selepas menerima dos kedua vaksin COVID-19.

  2. Walaupun sudah mengambil vaksin COVID-19, vaksin tersebut tidak memberikan perlindungan 100%. Jadi anda tetap perlu mematuhi SOP dan mengamalkan norma baharu yang ditetapkan KKM.

  3. Berdasarkan kajian, tempoh untuk vaksin COVID-19 bertindak selepas diambil akan mengambil masa antara 1 hingga 2 minggu untuk memberi tindakbalas imun.

  4. Jika anda mengalami kesan AEFI (adverse events following immunization) atau reaksi alahan teruk seperti demam melebihi 48 jam atau mengalami gejala jangkitan COVID-19 selepas mengambil vaksin, anda perlu segera mendapatkan rawatan dari fasiliti kesihatan terdekat.

  5. Anda juga boleh melaporkan AEFI atau reaksi alahan teruk menerusi laman sesawang NPRA.gov.my dan klik pada pautan PELAPORAN KESAN SAMPINGAN OLEH UBAT ATAU VAKSIN.

  6. Individu yang telah mengambil vaksin COVID-19 mampu melindungi individu daripada jangkitan dan menyebarkan virus tersebut kepada orang lain.

  7. Vaksin COVID-19 yang diterima anda masih berkesan melindungi anda daripada virus COVID-19 yang bermutasi.

  8. Anda boleh keluar negara selepas menerima vaksin COVID-19 dengan syarat mematuhi SOP negara yang dilawati.

  9. Walaupun sudah mengambil vaksin COVID-19, anda mungkin masih perlu mengambilnya pada masa hadapan. Ini kerana tahap antibodi yang dihasilkan selepas vaksinasi akan menurun selepas jangka masa tertentu dan perlu diambil secara berkala.


Untuk info lebih lanjut berkaitan vaksin COVID-19, layari laman rasmi infosihat.gov.my.

Sumber: KKM1, KKM2, KKM3, KKM4, KKM5, KKM6

P/S: Artikel di atas adalah berpandukan sepenuhnya daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ini kerana adalah menjadi satu kesalahan ke atas mana-mana pihak membuat sebarang kenyataan pencegahan dan rawatan COVID-19 selain dari KKM.

Berkaitan