2 Bekas Pekerja GoQuo Didapati Mengakses Dan Mencuri Data Pelanggan Malindo Air

Kes tersebut telah ditangani oleh pihak Malindo Air.


Pada 18 September lalu, syarikat penerbangan Malindo Air Malaysia telah digemparkan dengan dakwaan pencerohohan data peribadi penumpang mereka oleh pihak penyelidik keselamatan Kaspersky.

Susulan daripada dakwaan tersebut, pihak Malindo Air telah segera menjalankan siasatan bagi menyiasat dakwaan tersebut dengan bantuan pelbagai pihak termasuklah CyberSecurity Malaysia, Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) dan Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi Malaysia serta pihak berkuasa lain di luar negara.

Maka, selepas hampir seminggu sisatan dijalankan mereka mendapati, dua bekas pekerja syarikat penyedia servis e-dagang, GoQuo (M) Sdn Bhd yang berpusat di India telah melakukan salah laku dan mencuri data peribadi pelanggan mereka.

Susulan daripada penemuan itu, ia telah dilaporkan kepada pihak polis di kedua-dua negara iaitu Malaysia dan India. Pihak Malindo Air juga telah mengumumkan bahawa insiden kebocoran data pelanggan mereka ke dalam talian baru-baru ini, telah pun ditangani oleh pihak mereka.

Malah mereka juga menegaskan bahawa kes ini tidak ada kaitan dengan keselamatan seni bina data atau pembekal awan mereka, Amazon Web Services. Mereka juga menjamin semua sistem Malindo Air selamat sepenuhnya dan tiada maklumat pembayaran pelanggan mereka yang terjejas akibat insiden tersebut.

Namun begitu, sebagai langkah proaktif, khidmat pakar-pakar forensik data dan keselamatan siber telah digunakan bagi mengkaji semula semua proses dan infrastruktur data yang sedia ada oleh Malindo Air.

Mereka juga telah memulakan pengesetan semula automatik semua kata laluan pelanggan dan menasihatkan kepada semua  pelanggan mereka supaya berhati-hati dengan sebarang panggilan atau menerima  e-mel yang mencurigakan.