17 Jam Diperlukan Untuk Skrin iPhone X Mengalami Imej 'Lekat'

Laman sesawang teknologi Korea Selatan, Cetizen telah menguji beberapa skrin paparan OLED dari pelbagai peranti telefon pintar seperti Apple iPhone X, Samsung Galaxy Note 8, Galaxy S7 Edge untuk 510 jam secara keseluruhannya.

Ujian ini diadakan bagi menguji sejauh mana skrin OLED dapat bertahan sebelum menunjukkan tanda-tanda imej 'terlekat' di skrin. Ujian ini dilakukan dengan membuka satu imej dan tetapan skrin diletakkan dalam keadaan sentiasa terpasang dan dengan kadar kecerahan pada tahap paling tinggi.

iPhone X menunjukkan tanda-tanda kecil pembakaran pada jam ke-17 namun tidak seteruk tanda-tanda yang ditunjukkan oleh dua peranti Samsung lain kerana pada jam ke-62, imej yang terlekat di skrin pada peranti Samsung Galaxy Note 8 lebih jelas kelihatan berbanding iPhone X.

Pada akhir ujian, ketiga-tiga peranti jelas memperlihatkan imej yang 'terlekat' dengan Samsung Galaxy Note 8 di kedudukan tempat pertama.

 

Kapsyen: Dari atas: Samsung Galaxy S7 Edge Apple iPhone X Samsung Galaxy Note 8 Gambar dari Cetizen


Panel OLED yang berada di dalam peranti telefon pintar tidak sama dengan panel OLED yang terdapat di dalam televisyen. Masalah imej 'terlekat' di dalam televisyen selalunya dapat diselesaikan melalui perisian televisyen itu sendiri. Tidak dipastikan mengapa perisian tersebut tidak disertakan sekali untuk panel di dalam telefon pintar.

Kesimpulannya, panel OLED yang dihasilkan oleh Samsung masih lagi dalam kategori terbaik dan hanya menunjukkan masalah apabila digunakan untuk tempoh yang ekstrim.

Sumber