16 Pasukan Akan Berentap Di Kejohanan Akhir PUBG Mobile Cup Open 2019

PUBG Mobile Club Open 2019 (PMCO 2019) musim luruh bakal dilangsungkan pada 2 dan 3 November 2019 di Bangkok yang dibawakan oleh Vivo sebagai penaja rasmi. Memasuki peringkat akhir di rantau Asia Tenggara, ia memperlihatkan kejohanan itu sebagai salah satu acara yang paling penting dalam dunia e-sukan.

Penganjurannya sendiri dijangka dapat menyumbang kepada peluang untuk mencungkil bakat para pemain yang pakar dalam bidang ini dan secara tidak langsung meningkatkan persekitaran yang sihat dalam e-sukan itu sendiri.



Mike Xu selaku Ketua Pegawai Eksekutif Vivo Malaysia berkata, "Pembangunan teknologi hari ini dapat memperlihatkan kejohanan PMCO lahir dari satu bentuk kerjasama antara sukan dan teknologi. Kami berbangga untuk turut terlibat dan mengambil bahagian dalam kejohanan ini sambil dapat mempromosikan lagi produk keluaran terbaru kami, iaitu Vivo V17 Pro".

PMCO 2019 akan melibatkan 16 pasukan dari pusingan kelayakan Asia Tenggara yang diadakan sebelumnya dan antara negara-negara yang mengambil bahagian adalah seperti Kemboja, Indonesia, Malaysia, Thailand, serta Vietnam.

Semua pasukan akan bersaing untuk merebut gelaran di peringkat Asia Tenggara, yang kemudiannya akan melayakkan mereka untuk maju ke peringkat akhir global pula.



Pertandingan ini dibahagikan kepada kejohanan musim bunga dan musim luruh. Pada kejohanan musim bunga yang lalu, PMCO telah berjaya menarik perhatian lebih daripada puluhan juta orang ramai dan menjadi antara kejohanan Asia Tenggara yang paling popular.

"Meletakkan harapan tinggi agar kejohanan ini akan menjadi lebih menarik dengan sistem yang telah dikemas kini yang mampu meningkatkan keupayaan para peserta, lebih-lebih lagi di PMCO 2019 nanti akan tersedia dengan kejutan yang tidak pernah dilihat sebelum ini", kata Gaga Li, ketua e-sukan bagi PUBG Mobile di rantau Asia Tenggara.