Peminat dan pengikut arena teknologi telefon pintar tentu sudah mesra dengan model telefon yang mempunyai edisi khas dari sesuatu jenama kereta.
Jenama besar telefon pintar seperti OnePlus, OPPO, Huawei, dan iQOO bekerjasama daripada jenama kereta seperti Lamborghini, McLaren, Porsche, dan BMW untuk menghasilkan edisi khas telefon mereka.
Namun tahukah anda, ada lebih banyak jenama kereta lain selain dari yang dinyatakan turut mempunyai telefon edisi kereta mereka tersendiri.
Jenama seperti Ferrari, Bentley, Aston Martin, Mercedes-Benz, serta lain-lain pun turut ada telefon edisi mereka tersendiri sama ada dari mereka ataupun berkolaborasi bersama pengeluar telefon lain.
1. BMW
Pada tahun 2020 lepas, iQOO telah mengumumkan kerjasama dengan BMW M Motorsport untuk musim Deutsche Tourenwagen Masters (DTM) 2020.
Sehubungan dengan itu, 2 telefon pintar edisi BMW telah diperkenalkan oleh iQOO iaitu iQOO 7 BMW M Motorsport Edition dan iQOO 5 Pro BMW M Motorsport Edition.
Kedua-duanya mempunyai rekaan yang sama iaitu berinsipirasikan garisan kereta lumba berwarna merah, hitam, dan biru disamping warna putih utama. Sama warna ikonik kereta BMW.
Model dari iQOO ini memfokuskan kepada spesifikasi dan perkakas berkuasa seperti Snapdragon 888 (iQOO 7), Snapdragon 865 (iQOO 5 Pro), pengecasan pantas 120W, serta bateri 4,000mAh.
2. Porsche Design
Tahukah anda Porsche Design ini sebenarnya bukan syarikat Porsche yang sama yang menghasilkan kereta? Iya.
Porsche Design ini sebenarnya studio pereka sahaja di bawah jenama kereta Porsche yang besar itu. Berkait tetapi sebenarnya bukan sama.
Namun disebabkan ia mempunyai kaitan dengan Porsche, ayuh teruskan senarai ini.
Porsche Design sejak dari dahulu lagi sudah mesra dengan kolaborasi bersama syarikat pengeluar telefon pintar. Paling terkini adalah kolaborasi dengan Huawei melalui Huawei Mate 40 RS Porsche Design yang mempunyai rekaan modul kamera hexagon.
Tetapi, sebelum era telefon pintar, banyak juga syarikat telefon lain yang turut terlibat contohnya Blackberry seperti model Porsche Design P’9983 dan Porsche Design P’9981.
Berfokuskan kemewahan dan simbols status, ia mempunyai rekaan elegan dengan mengetegahkan papan kekunci seumpama kaca serta bingkai aluminium tahan karat.
Antara bahan lain digunakan adalah kulit haiwan secara tidak langsung nampak premium dan ‘kaya’.
Lebih awal dari Blackberry adalah Sagem, sebuah syarikat telefon dari Perancis. Sekarang dah tidak ada dah.
Antara model Porsche Design mereka paling menarik adalah Sagem melalui model P9521 Porsche pada tahun 2008.
Diperbuat dari satu blok jitu aluminium, telefon ini adalah sebuah telefon lipat dengan engsel yang turut diperbuat dari aluminium sama.
Dengan rekaan mewah P9521, telefon ini boleh dimiliki bernilai sekitar RM6000 pada waktu itu.
3. Lamborghini
Kalau cakap pasal Lamborghini dan telefon pintar, mesti ramai yang tuding jari kepada model OPPO Find X Lamborghini dan Find X2 Pro Automobilia Lamborghini Edition.
Cantik memang cantik, tetapi untuk artikel ini kita akan fokuskan lebih kepada pengeluar telefon lain supaya lebih seronok sedikit.
Kenalkah anda dengan Tag Heuer, antara jenama mewah dalam pasaran jam? Jadi pada tahun 2009, sempena menyambut ulang tahun pengasasan Automobili Lamborghini, Tag Heuer telah melancarkan sebuah telefon mewah Meridiist Automobili Lamborghini.
Diinspirasikan dari rekaan Lamborghini Murciélago, ia dipasang dalam karbida titanium hitam dengan keluli tahan karat 316L. Menariknya, rekaan belakang telefon ini adalah sama seperti enjin V12 Murciélago itu juga.
Yang paling terkini dari Lamborghini sendiri adalah Lamborghini Alpha-One. Hadir dengan tanda harga sekitar RM10,000, ia disertakan dengan bingkai besi cecair yang lagi kukuh dari titanium dan juga kulit hitam dari Itali.
Menurut Lamborghini, Alpha-One adalah merupakan gabungan sempurna antara rekaan dari Itali dan juga teknologi mewah.
4. McLaren
OnePlus 7T Pro McLaren Edition? Ya betul, itu juga McLaren. Tetapi ada ke model telefon lain edisi McLaren juga?
Ada. Salah satunya adalah Vodafone. Pada tahun 2007, Vodafone memulakan era penganjuran untuk McLaren sehinggalah ia berakhir pada tahun 2013.
Antara telefon yang terhasil dari kerjasama ini adalah contohnya Vodafone McLaren Mercedes 770SH, Vodafone McLaren Mercedes GX29, dan Vodafone McLaren Mercedes SGH-Z720M.
Mengapa ada label Mercedes? Ini adalah kerana Mercedes mempunyai majoriti utama dalam pemegang saham McLaren pada ketika itu.
Berbalik kepada telefon Vodafone tersebut, model kedua pertama adalah diperbuat daripada Sharp manakala model ketiga adalah dari Samsung.
5. Ferrari
Ferrari. Sebuah lagi jenama kereta sport mewah. Ferrari dalam sejarah mereka mempunyai pelbagai edisi khas telefon dari pengeluar seperti Vertu, Acer, dan Motorola.
Vertu merupakan pengeluar yang mempunyai lebih dari 1 model dengan telefon edisi Ferrari – sesuai dengan status kemewahannya.
Ini adalah Vertu Ascent Ferrari 1947 Limited Edition bersempena ulang tahun ke-60 Ferrari yang dilancarkan pada tahun 2007. Terhad dalam 1947 unit, ia diinspirasikan dari model Ferrari GT dalam kerangka kulit dan belakang yang mempunyai rekaan pedal brek.
Antara yang paling popular adalah Vertu Ti edisi Ferrari, telefon Android pertama mereka untuk jenama itu. Ia diinsipirasikan dari F12 Berlinetta dan menggunakan bahan kulit dan titanium.
Motorola antara jenama lain yang turut mempunyai edisi Ferrari mereka. Antara yang cantik adalah Motorola Z8 Ferrari Limited Edition pada tahun 2007. Ia adalah sebuah telefon gelungsur dengan skema warna hitam dan merah yang agak elegan.
Pada tahun 2012, Motorola turut memperkenalkan Motorola i867 edisi khas Ferrari. Ia diikatakan diinspirasikan dari Ferrari 458, berwarna merah, bahan fiber karbon, dan latar belakang khas Ferrari.
Acer pun turut ada edisi khas Ferrari melalui Acer Liquid E Ferrari Special Edition, namun rekaannya nampak biasa-biasa sahaja walaupun sebuah edisi khas dari jenama kereta mewah Itali.
6. Hummer
Pada tahun 2007, General Motors, pemilik jenama Hummer meminta syarikat pereka Perancis Modelabs untuk mereka sebuah telefon dengan jenama Hummer di atasnya.
Hasilnya lahirlah Hummer HT1. Ia adalah sebuah telefon gelungsur yang turut menyertakan rekaan tayar Hummer pada pad menu telefon.
Untuk telefon tersebut, ia tidaklah mempunyai ciri-ciri utama yang hebat dengan label Hummer pada telefon tersebut, itu pun sudah cukup gah untuk menjualnya.
7. Bentley
Telefon khas untuk pengguna jenama kereta Bentley. Vertu, rasanya pengeluar telefon paling layak untuk berganding dengan Bentley, telah melancarkan Vertu for Bentley pada tahun 2015.
Rekaan ini adalah berasaskan dari Vertu Signature Touch dan hadir dengan aplikasi khas untuk mengawal keseluruhan aspek kereta seperti pengudaraan, posisisi kerusi, dan juga tingkap kereta.
Nampak lebih unik apabila kulit telefon sama seperti kulit dalam kereta bentley menjadikan telefon tampak seperti satu ‘ekosistem’ yang sama.
8. Mercedes-Benz
Hanya ada 699 unit sahaja ASUS P526 Mercedes-Benz Limited Edition yang dijual ketika dilancarkan pada tahun 2007.
Ini merupakan telefon Windows Mobile dan dilengkapi logo Mercedes-Benz pada panel belakang dan animasi logo boot up dan shutdown khas Mercedes-Benz.
Daripada 699 unit itu, 399 daripadanya datang dengan kotak khas Mercedes-Benz dengan kerangka dari kulit sebenar. Untuk unit ini adalah percuma namun hanya untuk pemilik kelas C Mercedes-Benz sahajalah.
9. Jaguar
Jika anda membeli kereta Jaguar pada tahun 1996, anda akan menerima sebuah telefon khas secara percuma. Ia adalah Motorola MicroTAC International 8700 Jaguar.
Ini adalah telefon analog bermakna ia tidak menukarkan audio kepada kod binari sebaliknya kepada denyutan elektronik. Telefon ini akan disertakan jika anda membeli model Jaguar XK8 dan Jaguar XKR.
10. Ford
Era yang sama juga menyaksikan pemilik kereta Ford pun dapat jenis telefon analog yang sama iaitu Motorola Ford P4000.
Jujurnya, ini mungkin boleh masuk muzium disebabkan sudah terlalu lama dan agak kurang relevan untuk disenaraikan. Tetapi disebabkan ia menepati kriteria telefon dan jenama kereta, kami letakkannya jugalah.
11. Land Rover
Land Rover Explore merupakan gabungan paling sedap antara dua arena berbeza iaitu telefon dan juga kereta.
Berkonsepkan tahan lasak, kebal, dan kukuh, ia telefon khas untuk penggemar outdoor. Ia hadir dengan penarafan kalis air dan ketenteraans serta ketahanan bateri sehingga 2 hari.
Telefon ini sebenarnya dihasilkan oleh Bullitt Group iaitu sebuah syarikat telekomunikasi berpangkalan di United Kingdom. Pada tahun 2016, mereka mengumumkan kerjasama dengan Land Rover sehinggalah terhasilnya siri Land Rover Explore.
Pada tahun lepas, generasi kedua siri Explore iaitu Land Rover Explore R diperkenalkan dengan konsep tahan lasak yang sama.
Untuk harganya, ia sangat kurang berbaloi kerana spesifikasi yang rendah, namun untuk peminat outdoor yang mahukan telefon moden terbaik yang juga tahan lasak, ini antara pilihan utama mereka.
12. Aston Martin
Pada tahun 2006, Nokia telah bekerjasama dengan Aston Martin dalam menghasilkan edisi khas Nokia 8800 Aston Martin Edition.
Ia adalah berpandukan daripada Nokia 8800 asal dan untuk edisi khas ini ia dihasilkan dalam unit terhad.
Dari segi rekan ia hadir dengan logo Aston Martin dari badan keluli tahan karat. Ia juga turut dilengkapi dengan latar belakang kereta Aston Martin khas, video dan nada dering dari enjin V8 Aston Martin Vantage.
Pada tahun 2015, Aston Martin memperkenalkan telefon Aston Martin Racing 808 yang berharga sekitar RM24,000.
Selain dari membawa jenama Aston Martin, telefon ini tidaklah seunik mana pun jika mahu dijual pada harga setinggi itu. Seperti biasa ia hadir dengan bahan binaan premium, mewah dari aluminium, seramik, dan kulit serta logo Aston Martin Racing.
Untuk pengetahuan model pertama telefon dari Aston Martin adalah Aspire 668 pada tahun 2012. Spesifikasinya hanyalah biasa-biasa sahaja, tiada yang menarik selain dari tanda harga dan juga simbol status Aston Martin yang dibawa.
Rujukan: Beautifullife, Digitaltrends, Land Rover, TechJourney, TAG Heuer, Huawei, MicroTAC, Porsche Design