Skrin Paparan Lebih Luas Mungkin Inovasi Yang Akan Dibangunkan Vivo Selepas Ini

Beberapa tahun kebelakangan ini kita sedia melihat pelbagai perubahan diberikan pada telefon pintar, termasuklah rekaan panel skrin yang luas bersama bezel nipis.

Bermula dengan takuk, diikuti mekanime kamera terangkat, skrin berlubang (punch hole) dan teknologi terbaru adalah sensor kamera dibawah paparan. Kesemuanya ini diperkenalkan dengan satu tujuan iaitu memberikan paparan lebih luas kepada pengguna.

Mengutip kicauan Twitter daripada @UniverseIce, Vivo dilaporkan mahu meneroka lebih jauh lagi dalam hal ini dengan membangunkan peranti tanpa takuk, tanpa skrin berlubang serta bezel yang sangat nipis.


Akaun Twitter tersebut turut memuat naik imej yang menggambarkan rekaan skrin tersebut dan boleh dilihat sisinya tidak mempunyai sebarang butang.



Informasi ini tidak mengejutkan langsung kerana ramai yang sudah maklum, Vivo sejak beberapa tahun kebelakangan ini sering menampilkan inovasi terbaru dalam pasaran seperti pengenalan Vivo Nex, peranti pertama dengan kamera hadapan terangkat, serta Vivo Apex yang dipertontonkan sebelum ini hadir tanpa sebarang butang fizikal.

Dalam kicauan yang sama juga, @UniverseICce menyatakan Samsung pada awal tahun telah membatalkan projek "Full-Display 2.0" yang mana ia memfokuskan kepada pembangunan peranti dengan skrin menyeluruh tanpa gangguan rekaan lain seperti takuk. Beliau menyifatkan ini sebagai satu "kesilapan serius" kerana dalam masa yang sama, pengeluar dari China berusaha membangunkan paparan seperti itu.

Sumber: @UniverseIce