Windows 10 pertama kali dilancarkan secara global adalah pada 2015 dan kini, penggantinya bakal ditawarkan kepada anda. Hadir dengan nama Windows 11, berikut merupakan 11 perkara yang telah diumumkan oleh Microsoft sewaktu acara pengenalan sistem operasi terbaru mereka ini.
1. Rekaan ikon baru
Perkara paling awal kita akan lihat adalah rekaan serba baharu. Microsoft kata Windows 11 direka bentuk supaya lebih ringkas dan mampu tingkatkan produktiviti serta kreativiti anda.
Dari sekecil-kecil butang Start, taskbar, ikon, font dan bunyian dihasilkan supaya anda boleh lakukan tugasan pada komputer dalam keadaan tenang. Senang cakap tema warna pilihan kini Microsoft lebih sedap dipandang.
Bahagian Start juga diletakkan ditengah-tengah dan tidak lagi mata anda bersusah payah ‘membelok’ kekiri seperti sekarang ini. Recent file akan lebih mudah untuk ditemui dimana Windows 11 akan memaparkan fail atau tugasan yang anda buka sebelumnya. Tidak kiralah platform mana yang anda buka, sama ada dari Android mahupun iOS.
2. Snap Layout, Snap Group, Desktop
Anda mungkin sudah biasa menekan butang pintasan “⊞’ dan anak panah kiri atau kanan untuk buka dua tetingkap secara bersebelahan. Atau dengan cara lebih renyah, saizkan semula setiap tetingkap dan susun bersebelahan.
Sekarang lebih mudah, dan lebih banyak lagi susun atur yang boleh dibuat. Ciri ini dipanggil sebagai Snap Layout, Snap Group dan Desktops. Anda boleh susun sehingga 4 tetingkap, ikut kesesuaian saiz skrin paparan.
Selain itu boleh juga cipta Desktop berlainan ikut gaya penggunaan komputer anda. Mungkin satu boleh letak untuk hal-hal kerja, satu lagi untuk permainan video.
3. Microsoft Teams dibawa masuk terus ke Windows 11
Sejak Covid-19 melanda, Teams adalah salah satu platform yang popular digunakan bukan sahaja kita, malah satu dunia. Dari mesyuarat harian, tazkirah mingguan, ‘beraya’ bersama keluarga dan banyak lagi sudah kita lakukan dengan Teams.
Oleh sebab itu, Microsoft mahu mudahkan lagi dengan meletakkan Chat dari Microsoft Teams di bahagian Taskbar. Anda boleh terus berkomunikasi dengan pengguna lain sama ada menerusi teks, panggilan suara mahupun video tanpa sebarang kepayahan.
Kalau kenalan anda tidak mempunyai aplikasi Teams, ia boleh disambungkan secara SMS dua hala.
4. Permainan lebih baik
“If you’re a gamer, Windows 11 is made for you”, kata Microsoft. Antara penambahan untuk bahagian permainan adalah DirectX 12 bagi memberikan grafik yang lebih mendalam pada kadar bingkai lebih tinggi.
DirectStorage pula mengurangkan masa memuat permainan sementara Auto HDR mampu tawarkan visual yang luas serta cantik warnanya.
Microsoft turut menyatakan dengan Xbox Game Pass untuk PC dan Ultimate, anda disediakan akses kepada lebih 100 permainan komputer berkualiti tinggi.
5. Berita lebih cepat
Zaman sekarang semua perkara mahu cepat, dan Microsoft faham mengenai perkara ini. Pengguna boleh terus mendapatkan berita dengan lebih pantas menerusi suapan (feed) yang dikuasakan oleh kecerdasan pintar serta pelayar Edge.
Apabila suapan itu keluar, ia diibaratkan seperti ‘kepingan kaca’ supaya apa yang sedang anda lakukan pada paparan tidak terganggu. Anda boleh mengubahsuai Widget yang disediakan supaya padan dengan gaya penggunaan komputer seharian.
6. Microsoft Store yang baru
Kita sentiasa dinasihatkan untuk tidak memuat turun perisian sebarangan dari internet. Jadinya, untuk tambah baik Microsoft Store sedia ada, mereka menambah lagi bilangan aplikasi untuk ditawarkan kepada pengguna.
Tidak cukup dengan itu, Microsoft turut menjadikan setiap aplikasi mudah untuk dicari. Antara aplikasi yang biasa dicari dan digunakan adalah seperti Microsoft Teams, Visual Studio, Disney+, Adobe Creative Cloud, Zoom dan Canva.
7. Sokongan kepada aplikasi Android
Sebagai sistem operasi komputer paling popular didunia, Microsoft tahu cara untuk tambah baik sistem operasi terbaru mereka. Dengan itu, mereka membawa sokongan aplikasi dari sistem operasi mudah alih paling popular didunia iaitu Android.
Aplikasi Android yang tersedia di Amazon App Store boleh dimuat turun secara terus ke Windows 11 melalui Windows Store. Sewaktu acara pelancaran, Microsoft menunjukkan betapa mudahnya merakam serta kongsikan video pada aplikasi TikTok.
Ciri ini merupakan hasil kerjasama antara Microsoft, bersama-sama Amazon serta Intel menerusi teknologi Intel Bridge.
8. Buka peluang kepada pembangun
‘Tak makan sorang’, Microsoft kini membuka peluang kepada pembangun dan pencipta diluar sana untuk menjana pendapatan. Apa sahaja perisian atau aplikasi yang dibangunkan sama ada Win32, PWA, mahupun UWA, Microsoft mahu ia dikongsikan kepada lebih ramai orang.
Polisi baru turut diperkenalkan dimana Microsoft tidak akan mengambil satu sen pun dari hasil jualan aplikasi pembangun luar pada platform Windows Store.
Pembangun bakal menerima 100 peratus hasil jualan aplikasi mereka dan pastinya ini mampu mengembangkan lagi ekosistem sedia ada, dimana lebih ramai berminat untuk membangunkan aplikasi untuk Windows 11.
9. Naik taraf kepada Windows 11 adalah percuma
Semua tahu dari Windows 7 dan 8, pengguna ditawarkan naik taraf kepada Windows 10 secara percuma. Itupun masih ada lagi yang berdegil mahu kekal dengan sistem operasi lama.
Langkah sama turut dilakukan pada Windows 11 dimana ia boleh dinaik taraf secara percuma oleh pengguna Windows 10. Cuma anda perlu pastikan komputer sedia ada mampu menjalankan sistem operasi baharu ini sahaja.
10. Spesifikasi komputer untuk jalankan Windows 11
Sebelum anda ghairah untuk menerima Windows 11, pastikan dahulu komputer anda larat untuk menjalankannya. Antara spesifikasi asas yang telah ditetapkan adalah sekurang-kurangnya…
- Pemproses 1GHz atau lebih pantas,
- RAM 4GB,
- 64GB storan,
- UEFI, Secure Boot,
- TPM versi 2.0
- kad grafik yang sesuai dengan DirectX 12
- paparan 720p,
dan beberapa lagi keperluan tambahan yang anda boleh semak pada artikel ini – Ini Spesifikasi Asas Dan Keperluan Lain Bagi Membolehkan Komputer Anda Menjalankan Sistem Windows 11 Dan Ciri-Ciri Utamanya.
Boleh juga semak dengan cara muat turun aplikasi PC Health Check untuk tahu adakah komputer anda menepati spesifikasi asas Windows 11. – PC Health Check
11. Tarikh anda akan dapat kemaskini naik taraf
Sebelum anda menyingsing lengan baju dan berlari menekan butang kuasa untuk menghidupkan komputer, perlu diketahui bahawa Windows 11 belum ditawarkan lagi kepada umum.
Ia hanya akan tersedia sekitar penghujung tahun ini, mungkin akhir November. Tetapi sebelum versi stabil keluar, ia akan berada pada fasa percubaan dan boleh didapati menerusi Windows Insider seawal minggu hadapan. Tidak dinyatakan secara terperinci tarikhnya tetapi mungkin pada 28 Jun 2021 berdasarkan ciapan @zacbowden.
Sebagai tambahan, Windows 11 dijanjikan prestasi lebih baik penggunaannya pada komputer dan juga tablet. Dari segi ciri sentuhan, ruang antara ikon pada taskbar, pergerakan tetingkap semuanya dititik beratkan oleh Microsoft.
Ciri haptik juga disediakan untuk pengguna pen bagi pengalaman penggunaan lebih menarik lagi. Bagi anda pembaca Wiser.my, adakah anda berpuas hati dengan Windows 11 atau masih ada lagi kekurangannya dimata anda? Boleh kongsikan pendapat diruangan komen.