Tidak dinafikan semakin ramai yang menceburi bidang dan arena membuat video di YouTube. Ini adalah disebabkan YouTube juga dilihat sebagai salah satu cara untuk menjana pendapatan.
Untuk anda yang baru sahaja berjinak-jinak dengan YouTube dan tertanya-tanya apa syarat minimum yang diperlukan untuk mula terima gaji dari YouTube, artikel ini boleh dijadikan sebagai panduan asas.
YouTube Partner merupakan program di mana pencipta kandungan diberi akses untuk menjana pendapatan dan juga pelbagai ciri lain dalam YouTube.
Secara keseluruhannya terdapat 5 syarat minimum yang disyaratkan oleh YouTube untuk masuk ke dalam YouTube Partner. Namun terdapat lebih banyak syarat spesifik yang perlu diikuti supaya ia memenuhi kriterianya.
1. Pelanggan Melebihi 1,000 Orang
Jumlah pelanggan atau subscriber yang diperlukan minimum adalah 1,000 orang. Namun, jumlah ini boleh sahaja meningkat pada masa hadapan disebabkan semakin ramai yang menceburi arena YouTube ini.
Jika anda masih mempunyai jumlah pelanggan yang rendah dan tidak mencapai jumlah ini, jangan risau. Teruskan membuat video agar lebih ramai pelanggan datang melanggan saluran anda.
2. Jumlah Tontonan Melebihi 4,000 Jam Dalam Masa 12 Bulan
Selain jumlah pelanggan 1,000, anda juga memerlukan jam tontonan melebihi 4,000 jam dalam masa 12 bulan.
Anda mungkin mempunyai jumlah tontonan seumur hidup melebihi 4,000, namun hanya 12 bulan terakhir sahaja yang dikira.
Ini bermakna jika saluran anda kecil, anda perlu kekal aktif membuat video sehingga mencapai jumlah tontonan yang ditetapkan.
Seperkara lagi adalah, video yang dibuang dari saluran akan ditolak dari masa tontonan keseluruhan dan saluran anda boleh dibuang dari diterima program YouTube Partner.
3. Ada Akaun Google Adsense
Untuk anda yang tidak tahu, akaun Adsense dari Google sendiri bertindak sebagai akaun keluar masuk wang untuk YouTube dan juga pengurusan iklan.
Namun, untuk mewujudkan akaun Adsense yang boleh mengiklan di platform tidak kira YouTube atau laman web, anda perlu memohon dan terdapat beberapa syarat-syarat yang perlu diikuti.
Boleh jadi juga permohonan anda dilakukan beberapa kali sehinggalah akhirnya saluran anda boleh diletakkan iklan untuk menjana kewangan.
Untuk memohon dan melihat maklumat lanjut mengenai Google Adsense, boleh klik di pautan https://www.google.com/adsense/start/.
4. Ikut Polisi Pengewangan YouTube
Masuk ke tempat orang, buat cara dan adat tempat tersebut. Anda perlu mengikuti polisi yang telah ditentukan oleh YouTube.
Antara polisi yang ditetapkan oleh YouTube adalah:
- Bukan kandungan lucah/seksual/mencederakan diri sendiri dan setarafnya.
- Bukan kandungan buli/berbahaya/kebencian/ngeri/ dan setarafnya.
- Tidak membuat statistik seperti likes, views, comments, atau lain-lain metrik yang palsu.
- Tidak menyamar menjadi seseorang atau sesuatu saluran.
- Dan lain-lain lagi polisi
Untuk melihat polisi YouTube lebih terperinci, boleh ke laman Community Guidelines.
Terdapat sejumlah pekerja di YouTube yang akan menyemak kandungan dalam saluran YouTube anda. Mereka akan melihat dan menyemak antaranya dari segi:
- Tema saluran (Contoh permainan video, ulasan produk, dan lain-lain.)
- Video yang paling banyak jumlah penonton
- Video terkini
- Metadata video seperti tajuk, thumbnail, dan juga deskripsi video
Ini adalah untuk memastikan saluran anda secara keseluruhan tidak melanggar polisi YouTube dan juga Adsense supaya anda kekal dibayar.
5. Tinggal Di Negara Yang Ada Program YouTube Partner
Ini tidak menjadi masalah kerana Malaysia merupakan salah satu negara yang terlibat dengan program YouTube Partner ini. Jika dilihat senarai negara yang terlibat, sudah ada 149 negara buat masa ini.
Jika anda mahu melihat kesemua polisi dan panduan YouTube Partner secara menyeluruh, boleh ke pautan ini.
Diharapkan artikel ini sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan kepada yang mula berjinak-jinak dalam arena YouTube selain memberi pengetahuan asas kepada lebih ramai di luar sana yang mahu mengetahui bagaimana kita boleh menjana pendapatan melalui YouTube.
Rujukan utama: YouTube Partner Program